PRAB mampu ramal banjir tujuh hari sebelum kejadian - JPS
Astro Awani
September 8, 2020 00:17 MYT
September 8, 2020 00:17 MYT
Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memperkenalkan Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir (KARIB) menerusi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) bagi membolehkan ramalan banjir dibuat tujuh hari sebelum kejadian dijangka berlaku, berbanding enam jam ketika ini.
Pengarah Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRAB) JPS, Ir Mohd Razali Husain, berkata teknologi inovatif dan sistem komprehensif PRAB memberikan manfaat kepada agensi berkepentingan juga komuniti terkesan.
Katanya, tujuan kempen itu diperkenalkan juga bagi memberikan pendedahan terhadap penduduk berpotensi terjejas dengan banjir untuk berpindah sebelum banjir selain maklumat mengenai banjir akan dikongsikan menerusi sistem pesanan ringkas (SMS).
“Manfaatnya, agensi penyelamat dapat menyusun strategi operasi pemindahan penduduk dengan cekap dan teratur dan memberikan masa lebih untuk komuniti terkesan membuat persiapan dan persediaan rapi.
“PRAB juga mampu mengurang kerosakan dan kerugian harta benda dialami komuniti terkesan akibat banjir.” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi taklimat bersama media mengenai KARIB, pada Selasa.
Turut hadir, Timbalannya, Ir Nasser Salim dan Ketua Penolong Pengarah Kanannya, Ir Dr Salwa Ramly.
Katanya, fasa pertama PRAB mula beroperasi bagi lembangan sungai Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala fasa kedua sedang dijalankan di 38 lembangan sungai utama, seluruh negara.
“PRAB adalah program jangka masa panjang yang dapat memantau status semasa curahan hujan dan aras sungai bagi menghadapi musibah banjir di kesemua lembangan sungai.
“Program ini dapat melaksanakan simulasi banjir tujuh hari lebih awal serta dapat mengeluarkan amaran banjir dua hari lebih awal dari jangkaan banjir berlaku,” katanya.
Katanya, kesedaran untuk bertindak lebih awal amat penting dan perlu dipertingkatkan lagi dalam kalangan komuniti biarpun PRAB dijangka dapat berikan manfaat kepada semua pihak.
“Selain program PRAB, masyarakat di sekitar kawasan potensi banjir akan menerima amaran banjir sebanyak tiga kali mengikut paras air sebelum naik sepenuhnya.
“Dalam pelan jangka masa panjang, KARIB menjadi pemangkin untuk setiap individu berganding bahu membuat perubahan positif dalam kalangan komuniti,” ujarnya.
Sementara itu, menyentuh mengenai langkah persediaan pasca pandemik COVID-19, katanya persediaan ruang selamat buat masyarakat dan patuh prosedur operasi standard (SOP) menjadi cabaran.
“Pun begitu, pihak kami akan memastikan maklumat awal lokasi bersesuaian untuk penempatan sementara mangsa banjir diberikan kepada pihak berkenaan berdasarkan bacaan paras air di suatu kawasan itu,” katanya lagi.
Kempen diketengahkan ini memberi fokus kepada masyarakat dan pasukan penyelamat dalam membuat persediaan sebelum berlakunya banjir sekali gus menyampaikan amaran mengenai tahap banjir di kawasan tertentu.
Sehingga kini, kajian yang dijalankan pada Februati lalu menunjukkan hanya 5.5 peratus daripada penduduk di sekitar kawasan tiga lembangan utama termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang mengetahui KARIB yang dilancarkan tahun lalu diketengahkan oleh PRAB.
#banjir
#Ir Mohd Razali Husain
#Jabatan Pengairan dan Saliran
#JPS
#KARIB
#Kempen Amaran dan Ramalan Informasi Banjir
#PRAB
#Program Ramalan dan Amaran Banjir
#ramalan