Pra-pendaftaran banci dalam talian, e-CENSUS berakhir esok

Bernama
September 29, 2020 19:17 MYT
Pra-pendaftaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa 1 secara dalam talian (e-CENSUS) akan berakhir esok. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pra-pendaftaran Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci 2020) fasa 1 secara dalam talian (e-CENSUS) akan berakhir esok, pukul 11:59 malam.
Pesuruhjaya Banci 2020 Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata individu yang telah berjaya membuat pra-pendaftaran dan menerima Invitation Code (IC) serta mengikuti dan mendapatkan IC di klinik e-CENSUS, boleh melengkapkan pengisian e-CENSUS sehingga 6 Okt, pukul 11:59 malam.
"Bagi orang ramai yang masih belum menerima IC, Jabatan Perangkaan akan membantu menyelesaikan padanan alamat tempat kediaman dan membekalkan IC dengan kadar segera sebelum pengisian berakhir pada 6 Okt," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi yang menghubungi talian hotline dan platform rasmi lain, Mohd Uzir berkata mereka akan terus dihubungi untuk memastikan mereka melaksanakan e-CENSUS.
Beliau berkata antara sebab pra-pendaftaran tidak berjaya adalah padanan alamat tempat kediaman tidak dapat dibuat dalam sistem e-CENSUS berikutan maklumat yang dibekalkan tidak lengkap atau terlalu umum.
Pra-pendaftaran yang tidak berjaya juga adalah kerana wujud perbezaan antara alamat yang dilaporkan dari segi ejaan, kaedah penulisan, huruf singkatan dan tidak mengikut standard penulisan alamat, katanya.
Mohd Uzir yang juga Ketua Perangkawan berkata bagi yang tidak berpeluang mengisi e-CENSUS, mereka akan dibanci secara bersemuka (Fasa 2) mulai 7 hingga 24 Okt.
Jabatan Perangkaan mengalu-alukan orang ramai untuk menghubungi hotline 1-800-88-7720 atau emel ke helpdesk.banci@dosm.gov.my sekiranya menghadapi masalah berkenaan Banci 2020.
-- BERNAMA
#Pra-pendaftaran Banci Penduduk #banci #e-Census #Dr Mohd Uzir Mahidin #Jabatan Perangkaan #Ketua Perangkawan #Banci 2020 #dalam talian
;