Pra-Bajet 2022: MOSTI tumpu teknologi IR4.0, transformasi digital - Dr Adham
Harits Asyraf Hasnan
September 4, 2021 13:54 MYT
September 4, 2021 13:54 MYT
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memberi penekanan kepada teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) dan transformasi digital yang berasaskan kepada pembangunan tempatan yang berteknologi tinggi.
Ia termasuk ekonomi kurang sentuhan (low-touch economy) terutamanya dalam menghadapi situasi pandemik yang mencabar ketika ini.
Menterinya, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, tumpuan itu seiring Kenyataan Pra-Bajet 2022 yang dikeluarkan Kementerian Kewangan pada Selasa lalu.
"MOSTI akan memberi tumpuan ke arah mempertingkatkan infrastruktur digital dan teknologi disruptif yang menjadi nadi utama bagi kelangsungan sistem ekonomi permulaan (start-up), pembiayaan dan pembangunan bakat bagi memangkin pembangunan sosial dan ekonomi negara di samping memacu agenda kelestarian negara selaras dengan Matlamat Pembangunan Lestari (SDG)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, MOSTI juga sedang berusaha membangunkan vaksin COVID-19 dan vaksin-vaksin lain yang berkaitan dengan penyakit-penyakit tropika.
"Usaha ini akan melahirkan lebih ramai pakar dalam pembangunan vaksin, dan saintis dalam penyelidikan.
"Selain itu, penekanan akan turut diberikan kepada pembangunan innopreneur iaitu melahirkan usahawan berlandaskan inovasi dalam kalangan B40 dan M40 yang menjadikan produk inovasi dan ekonomi digital sebagai sumber penjanaan pendapatan untuk mereka mempertingkatkan kualiti kehidupan dalam mengharungi pandemik COVID-19," katanya.
Selain itu, Dr Adham berkata, MOSTI akan terus menerajui bidang teknologi baru muncul antaranya dron, elektrik dan elektronik, Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), blok rantai, ruang simpanan awan, robotik, serta inovasi dengan pendekatan yang berpusatkan manusia.
Malah, ujar beliau, MOSTI akan memastikan semua warga kerja kementerian dan agensi-agensi di bawah MOSTI sentiasa proaktif dan pantas dalam menghasilkan impak berprestasi tinggi serta mengarusperdanakan sains, teknologi dan inovasi.