PR1MA realisasi impian belia miliki rumah idaman
Bernama
Mei 7, 2017 18:15 MYT
Mei 7, 2017 18:15 MYT
Program Perbadanan Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) banyak memberi manfaat kepada orang ramai terutama golongan belia seawal 30-an memiliki rumah idaman mereka.
Rata-rata daripada mereka berpuas hati berpeluang memiliki rumah sendiri setelah sekian lama menyimpan hasrat berkenaan.
Bagi pasangan suami isteri yang baru dua bulan mendirikan rumahtangga, Loi Pak Keong, 32, dan Thai Yew Kin, 26, tidak menyangka ''rezeki berganda'' yang diperolehnya.
"Beberapa kali percubaan saya untuk memohon rumah PR1MA semasa saya bujang dahulu sering kali gagal, namun nampaknya rezeki kali ini berpihak kepada kami setelah berkahwin dan bakal menimang cahaya mata beberapa bulan lagi," kata Loi ketika ditemui Bernama pada hari terbuka PR1MA, di sini hari ini.
Lai yang bekerja sebagai pegawai pemasaran di syarikat Teknologi Maklumat di Kuala Lumpur manakala isterinya seorang akauntan, memilih unit apartment yang dilengkapi tiga bilik tidur dan dua bilik air bernilai RM400,000 di Prima Alam Damai, Cheras.
Bagi jurutera projek syarikat Teknologi Maklumat di ibu negara, K. Barani, 31, bersyukur impian untuk memiliki rumah teres dua tingkat di Prima Rantau, Negeri Sembilan, tercapai apatah lagi beliau bakal mendirikan rumah tangga, Ogos ini.
"Ini sebagai hadiah perkahwinan kepada bakal isteri saya," kata beliau yang ditemani pasangannya A. Shanthini, 31, memilih rumah teres dua tingkat berharga RM235,000 dengan empat bilik tidur dan tiga bilik air.
Menurut Barani, ini merupakan rumah kedua yang dibeli selain rumah pertama, teres dua tingkat yang didudukinya bersama keluarga di Sendayan, Negeri Sembilan ketika ini.
Shanthini berkata beliau berpuas hati dengan konsep ''One Stop Center'' yang disedia PR1MA yang terdiri daripada wakil institusi kewangan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) Bank Negara, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) selain wakil guaman dikumpulkan setempat untuk memudahkan orang ramai mengakses permohonan.
Sementara itu, seorang petugas pentadbiran di Prasarana Malaysia Berhad, Zaid Ihsan Abd Mutalib, 32, bersyukur setelah hampir tujuh tahun bekerja, akhirnya impian membeli rumah impian dengan harga berpatutan tercapai.
"Lapan bulan lepas saya ada juga memohon PR1MA untuk apartment di Prima Alam Damai, Cheras tetapi tidak berjaya, namun saya buat permohonan kedua untuk rumah di Prima Rantau, di Negeri Sembilan, alhamdulillah lulus," kata bapa kepada sepasang cahaya mata itu.
Selain warganegara Malaysia, antara syarat kelayakan bagi bakal pembeli PR1MA adalah berpendapatan bulanan isi rumah individu atau keluarga antara RM2,500 hingga RM15,000, bujang atau berkahwin serta berumur 21 tahun ke atas dan tidak memiliki lebih daripada satu hartanah.
Dalam pada itu, seorang guru sekolah menengah di Rawang dikenali sebagai Nelson, 46, memuji langkah kerajaan memperkenalkan PR1MA terutama bagi golongan berpendapatan sederhana memiliki rumah dengan harga berpatutan.
"Kalau boleh, di masa akan datang perlu diperbanyakkan lagi projek ini di bandar-bandar besar terutama di Pulau Pinang dan Johor Bharu," katanya kepada pemberita setelah memilih rumah dua tingkat di Prima Kamunting, Perak.
PR1MA mengadakan hari terbuka mingguan di Galleri Jualan PR1MA di Oasis Square, Ara Damansara, Petaling Jaya selama dua hari bermula semalam.
PR1MA-BELIA 4 (AKHIR) PETALING JAYA
PR1MA menawarkan 23 projek kediaman di beberapa negeri termasuk Sabah dan Sarawak kepada pembeli di sektor awam dan swasta yang berkelayakan.
Sehingga April ini, sebanyak 136,569 unit perumahan PR1MA sedang dibina daripada sejumlah 265,033 unit perumahan itu di seluruh negara yang diluluskan Ahli Perbadanan PR1MA.
Setakat ini, 1.41 juta rakyat negara ini telah mendaftar dengan PR1MA dan 166,972 daripadanya telah memohon perumahan itu.
-- BERNAMA