PR1MA rancang perkenal rumah pintar, mesra alam

Bernama
Disember 7, 2024 18:45 MYT
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming (dua, kanan) melawat kawasan Residensi Port Dickson pada majlis penyerahan kunci residensi itu hari ini. - Foto BERNAMA
PORT DICKSON: Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) merancang memberikan nilai tambah dalam pembangunan projek perumahan mampu milik menerusi pengenalan rumah pintar dan berkonsepkan mesra alam.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata langkah itu selari menjadikan PR1MA sebagai agensi perumahan di bawah kementerian yang sinonim sebagai pemaju perumahan mampu milik berkualiti.
"PR1MA tahun depan, kami akan memperkenalkan lebih banyak projek menarik dengan beberapa elemen tambahan termasuk menumpukan kepada inisiatif rumah pintar dan bangunan hijau dengan tenaga boleh diperbaharui serta pembangunan bandar PR1MA.
"Pada Julai tahun depan, kami akan anjurkan Sidang Kemuncak Hartanah ASEAN, kita akan mengadakan ekspo terbesar bagi mengangkat martabat negara, khususnya dalam sektor hartanah,” katanya pada sidang media selepas majlis penyerahan kunci Residensi Port Dickson yang turut dihadiri Pengerusi Perbadanan PR1MA Datuk Azrulnizam Abd Aziz di sini hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata PR1MA akan menyiapkan lebih 8,900 unit rumah menjelang akhir tahun ini selain agensi itu turut mencatat kejayaan menjual lebih 1,900 unit rumah bernilai RM810 juta.
"Pencapaian ini bukan sahaja meningkatkan pemilikan rumah dalam kalangan kumpulan M40 tetapi juga memperkukuh aliran kewangan PR1MA. Saya amat berbangga dengan usaha dan komitmen PR1MA menyiapkan projeknya.
"Tahun ini PR1MA berjaya menyiapkan enam projek meliputi Residensi Port Dickson, Residensi Larkin Indah di Johor, Residensi Brickfields di Kuala Lumpur, Residensi Melaka Tengah 2 di Melaka, Residensi Nexus Kajang di Selangor dan Residensi Bukit Gelugor di Pulau Pinang,” katanya menambah beberapa projek lain juga bakal disiapkan termasuk projek sakit hingga akhir tahun ini.
Nga berkata PR1MA merangkul sembilan anugerah industri iaitu StarProperty Award 2024 (enam anugerah) dan The Edge Property Excellence Award 2024 (tiga anugerah) pada tahun ini.
Beliau berkata kejayaan PR1MA pada tahun ini adalah bukti komitmen mereka bersama KPKT dalam membina kediaman berkualiti tinggi dan membangunkan komuniti lestari.
Terdahulu, Nga menyerahkan kunci kepada 15 pembeli rumah dan selebihnya akan menerima secara berperingkat iaitu merangkumi 659 unit rumah teres yang memperoleh Sijil Penyiapan dan Pematuhan (CCC) pada Mei 2024.
Pembangunan yang pada awalnya dikategorikan sebagai projek sakit itu telah dipulihkan menerusi lantikan kontraktor Vertex Central Industries Sdn Bhd.
-- BERNAMA
#PR1MA #rumah pintar #mesra alam #Nga Kor Ming
;