PR1MA harus utamakan mereka yang tidak memiliki rumah lagi - suara media sosial
Syafique Shuib
November 7, 2013 16:37 MYT
November 7, 2013 16:37 MYT
Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) tetap harus memberi keutamaan kepada mereka yang belum memiliki rumah.
Itulah luahan dan pendapat orang ramai menerusi Twitter dan Facebook Astro AWANI susulan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim yang berkata permohonan akan dibuka terutama kepada golongan yang sudah mempunyai rumah di kampung yang berkedudukan jauh tetapi terpaksa bekerja di ibu negara.
"PR1MA bukan setakat memberi rumah tetapi ia sebenarnya membentuk masyarakat. Saya nak pastikan program PR1MA ini akan membentuk komuniti yang aman dan damai," katanya di lobi Parlimen Rabu.
Di Twitter, ramai yang tertanya-tanya tentang objektif asal program PR1MA untuk membangunkan rumah mampu milik kepada golongan yang masih belum memiliki rumah.
Di Facebook Astro AWANI, ramai mengeluh ramai rakyat Malaysia masih belum memiliki rumah pertama.
“Makin teruk nasib rakyat Malaysia berbanding Singapura. Sekurang-kurangnya rakyat Singapura mampu memiliki rumah di Malaysia. Tetapi rakyat Malaysia jangan kata nak beli rumah di Singapura, dekat negara sendiri pun sengsara,” kata Jojie Al Rozie.
Ada yang berkata tidak adil program ini diberikan kepada mereka yang sudah memilik rumah.
“PR1MA ini untuk semua? Kata untuk orang yang tidak pernah ada rumah sahaja? Jikalau macam ini, yang tidak ada rumah akan melopong. Yang ada rumah makin banyak rumah,” kongsi Norman Mohd Noh.
Ahmad Zaini Ismail pula berkata, “Berilah keutamaan kepada yang belum memiliki rumah.”