PR1MA bantu rakyat Sarawak miliki rumah impian - Najib

Harits Asyraf Hasnan
Mac 12, 2016 18:29 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melihat pameran Ekspo Rumah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) 2016 di Dewan Undangan Negeri Lama hari ini. Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem. - Gambar Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata pengurangan 20 peratus harga rumah mampu milik, Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) ialah satu inisiatif kerajaan membantu rakyat Sarawak memiliki rumah impian mereka.
Najib turut berkata, inisiatif tersebut merupakan satu langkah kerajaan membantu menambahkan kekayaan rakyat.
"Walaupun kita nampak ini program menjual rumah, hakikatnya, (sebagai sebuah kerajaan) kita melakukan sesuatu untuk menambah kekayaan rakyat. Kalau tiada PR1MA, kita tidak mungkin memiliki rumah yang diimpikan.
"Kedua, kita memiliki sebuah rumah yang lebih murah daripada harga pasaran. Apabila kita berjaya memiliki rumah ini, kerajaan dapat menambahkan kekayaan untuk kepentingan rakyat ... ini yang penting untuk kita fahami," jelas Najib ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Ekspo Rumah PR1MA @ Sarawak di Bangunan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lama, di sini hari ini.
BACA: Deklarasi Rakyat 'agenda peribadi', jangan tipu rakyat - Najib
Katanya, usaha tersebut menjadi matlamat kerajaan selain memenuhi setiap impian individu dan keluarga yang ingin memiliki rumah sempurna dan berkualiti dengan harga yang berpatutan.
"...yang menjadi cabaran kita (kerajaan) ialah bagaimana kita boleh memenuhi kehendak rakyat dengan menyediakan rumah berkualiti, sempurna, cukup keluasannya dengan segala kemudahan sampingan ... tetapi kita nak jual rumah itu dengan harga yang lebih rendah daripada harga pasaran.
"Alhamdulillah, kerajaan telah berjaya mencapai objektif tersebut apabila konsep yang dibawa oleh PR1MA dapat dilaksanakan," katanya.
Jelas Najib, projek PR1MA yang dilancarkan di Sarawak berjumlah lebih 9,000 unit melibatkan lapan buah projek dengan pengurangan harga 20 peratus berbanding harga pasaran semasa.
Justeru, beliau berharap jalinan kerjasama antara kerajaan Persekutan dan kerajaan negeri Sarawak dapat dipertingkatkan demi kepentingan rakyat.
Malah, katanya kerajaan Persekutuan akan menambah lagi beberapa buah projek PR1MA di negeri ini pada masa akan datang.
Hadir sama Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem, Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Perumahan dan Pelancongan Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Abang Openg.
#Najib Razak berkata pengurangan 20 peratus harga rumah PR1MA ialah inisiatif kerajaan bantu rakyat Sarawak miliki rumah impian
;