PR tiada masa depan jika Hadi terus terajui Pas, kata DAP

Astro Awani
Mac 23, 2015 11:39 MYT
ZAIRIL: Pengkhianatan yang dilakukan sesetengah pimpinan PAS sejak PRU13 dilihat sebagai agenda rakus dan jumud.
Penolong Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Zairil Khir Johari, hari ini menyatakan bahawa Pakatan Rakyat tidak mungkin mempunyai masa depan sekiranya pucuk pimpinan PAS terus diterajui oleh Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Melalui sebuah kenyataan media, Zairil berkata demikian berdasarkan pendiriannya bahawa tindak-tanduk Abdul Hadi dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang meluluskan pindaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada 19 Mac lalu.
“Tindakan secara unilateral itu bukan sahaja bercanggah dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat, malah tidak menghormati keputusan mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat pada 8 Februari 2015 yang dihadiri Abdul Hadi sendiri,” ujar Zairil.
Tambah Ahli Parlimen Bukit Bendera itu, susulan daripada pindaan enakmen hudud yang diluluskan di Kelantan, Abdul Hadi sendiri melakukan tindakan yang lebih mengejutkan.
“Abdul Hadi menghantar pemberitahuan kepada Setiausaha Dewan Rakyat untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang bertujuan untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 bagi membenarkan pelaksanaan enakmen hudud di Kelantan.
“Justeru, tindakan Presiden PAS untuk mengemukakan rang undang-undang persendirian ini boleh dianggap sebagai satu pengkhianatan muafakat Pakatan Rakyat, lantas menimbulkan persoalan sama ada gabungan politik tiga parti ini boleh terus berkekalan,” katanya.
Zairil juga mengungkit tentang enam kerusi DUN dan satu kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-13 lalu iaitu Parlimen Labuan, DUN Sungai Acheh, DUN Kota Damansara, DUN Pantai, DUN Kota Putera, DUN Bukit Besi dan DUN Seberang Takir.
Ketujuh-tujuh kerusi itu dikatakan sebagai ‘bukti pengkhianatan’ PAS apabila meletakkan calon pada saat terakhir melalui watikah yang ditandatangani oleh Abdul Hadi sedangkan ia sepatutnya ditandingi oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Akhirnya, Barisan Nasional telah memenangi kesemua tujuh kerusi tersebut.
“Saya melihat pengkhianatan yang dilakukan oleh sesetengah pimpinan PAS sejak PRU13 lagi sebagai agenda rakus dan jumud oleh puak tertentu yang ingin memecahbelahkan Pakatan Rakyat bagi kepentingan politik mereka.
“Pada pendapat saya, selagi dalang-dalang pengkhianatan ini masih kekal berkuasa dalam PAS, tiadalah masa depan bagi Pakatan Rakyat,” ujar Zairil.
#Abdul Hadi Awang #DAP #khianat #Pakatan Rakyat #PAS #Zairil Khir Johari
;