PPZ-MAIWP lancar kempen YEZ 2023, seru pembayar segerakan zakat

Bernama
November 18, 2023 22:15 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ- MAIWP) Abdul Hakim Amir Osman berucap pada Majlis Pelancaran Year End Zakat (YEZ) 2023 di Taman Metropolitan Kepong hari ini. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mengajak orang ramai untuk melaksanakan atau melunaskan kewajipan menunaikan zakat sebelum 31 Dis ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PPZ-MAIWP Abdul Halim Amir Osman berkata sepanjang Disember ini, sebanyak 10 kaunter PPZ-MAIWP akan beroperasi dari 10 pagi hingga 4.45 petang setiap hari termasuk cuti umum dan setiap Jumaat.
"Pada minggu terakhir Disember, waktu operasi akan dilanjutkan sehingga 9 malam di samping mengadakan Hari Bersama Pembayar dengan menyediakan jamuan makan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran kempen Year End Zakat (YEZ) 2023 di Taman Metropolitan hari ini.
Beliau berkata kempen YEZ dilancarkan setiap tahun bertujuan menggalakkan pembayar zakat supaya melunaskan kewajipan mereka sebelum atau pada 31 Dis, terutamanya kepada mereka yang ingin mendapat rebat cukai pendapatan masing-masing.
Menurutnya, terdapat juga kemudahan lain untuk melakukan pembayaran seperti secara dalam talian melalui portal zakat.com.my, aplikasi Myzakat, perbankan internet dan ejen rasmi yang telah dilantik oleh PPZ-MAIWP.
Sementara itu, Abdul Hakim berkata sehingga Oktober tahun ini, sebanyak RM688.7 juta berjaya dikutip dan berharap dapat mencapai sasaran RM1 bilion kutipan zakat menjelang hujung tahun ini.
"Jumlah asnaf yang berada di Wilayah Persekutuan ini semakin lama semakin bertambah. Kalau pada tahun ini sekitar 30,200 asnaf disantuni setiap bulan dan baru-baru ini MAIWP juga telah menaikkan sebanyak RM300 bantuan kepada asnaf dengan kos membabitkan kira-kira RM108 juta setahun," katanya.
-- BERNAMA
#PPZ-MAIWP #kempen YEZ 202 #zakat #Abdul Halim Amir Osman
;