PPZ-MAIWP catat RM511 juta kutipan zakat tahun ini, naik 10 peratus

Bernama
Julai 16, 2024 15:17 MYT
Mohd Na'im berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15 peratus disumbangkan melalui kutipan Zakat Perniagaan. - Gambar fail/Bernama
KUALA LUMPUR: Pusat Pungutan Zakat dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) mencatat kutipan zakat sebanyak RM511 juta dari Januari hingga Jun tahun ini dengan peningkatan sebanyak 10 peratus berbanding tempoh sama pada 2023.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata daripada jumlah itu, sebanyak 15 peratus disumbangkan melalui kutipan Zakat Perniagaan.
"Kutipan zakat PPZ-MAIWP meningkat sebanyak 10 peratus iaitu sebanyak RM511 juta berbanding RM462 juta dalam tempoh tersebut.
"Ini menjadi petunjuk kepada kesedaran syarikat-syarikat untuk menunaikan kewajipan agama Islam yang perlu dilaksanakan," katanya pada sidang media selepas Majlis Zakat Korporat 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.
Pada majlis itu, PPZ-MAIWP turut menerima bayaran Zakat Perniagaan berjumlah RM55,457,640.75 daripada 25 syarikat antaranya ialah Lembaga Tabung Haji, Bank Islam Malaysia Berhad, Amanah Hartanah Bumiputera Sdn Bhd dan Co-opbank Pertama Malaysia Berhad.
"Terima kasih dan tahniah diucapkan kepada ahli lembaga pengarah syarikat yang telah memastikan syarikat mereka dapat menunaikan zakat perniagaan pada tahun ini. Ini menunjukkan kesedaran berzakat dalam kalangan syarikat muslim kian meningkat," katanya.
Beliau juga berkata sebanyak RM577 juta telah diagihkan oleh MAIWP melalui 38 skim kepada mereka yang layak dari 1 Jan hingga 30 Jun lepas.
Mohd Na'im berkata pihaknya komited untuk memastikan PPZ dan MAIWP dapat menjalankan fungsinya dengan baik sama ada dalam memberi kesedaran kepada masyarakat untuk melaksanakan rukun Islam keempat itu termasuk urusan agihannya serta bantuan kepada asnaf dan mereka yang layak.
Beliau turut menyeru orang ramai agar turut melaksanakan ibadah wakaf.
"Mari sama-sama kita berwakaf di www.wakafppz.com.my dan orang ramai boleh memilih mana-mana projek yang sedang dicukupkan dananya.
"Insya-Allah, lebih cepat dana wakaf ini dapat dikumpulkan, lagi cepat manfaatnya boleh dirasai oleh semua masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#Tabung Haji #PPZ-MAIWP #zakat perniagaan #syarikat muslim