PPVN wujud peluang praktikal, pengalaman buat saintis muda dan pelajar - Lee Lam Thye
Astro Awani
November 2, 2021 04:47 MYT
November 2, 2021 04:47 MYT
KUALA LUMPUR: Pelan Hala Tuju Pembangunan Vaksin Negara (PPVN) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri pada Isnin berupaya meningkatkan kapasiti penghasilan vaksin sendiri dalam masa terdekat.
Menurut Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, dengan adanya PPVN, negara juga dapat menyediakan satu ekosistem dan halatuju dan koordinasi yang jelas bagi memacu Malaysia di dalam membangunkan vaksin sendiri kelak.
“Semuanya bermula di PPVN yang dipercayai akan menyumbang kepada pertumbuhan bioekonomi dengan merapatkan jurang sumber manusia dan infrastruktur bioteknologi di Malaysia serta mewujudkan peluang pekerjaan bagi graduan dan pakar tempatan yang pulang dari luar negara.
“Pelaksanaan PPVN juga mewujudkan peluang untuk pengalaman latihan di tempat kerja dan praktikal untuk pelajar dan saintis muda bagi memastikan pengekalan bakat.
“Selain itu, PPVN juga meletakkan Malaysia sebagai hab kajian klinikal bagi setiap fasa dan menarik pelaburan syarikat multinasional,” jelas Lam Thye dalam satu kenyataan media pada Selasa.
Katanya lagi, inisiatif PPVN dan Institut Genom & Vaksin Malaysia atau Malaysia Genome & Vaccine Institute (MGVI) di bawah Kementerian MOSTI ini adalah tepat pada masanya.
“Semoga terdapat suntikan dana bagi tujuan baik ini yang seterusnya dapat menyumbang ke arah menjayakan aspirasi negara agar dapat bergelar antara pengeluar vaksin tempatan dan dikomersialkan ke peringkat global.
“Salah satu kelebihannya adalah kita mampu menghasilkan vaksin sendiri dan tidak perlu bergantung terhadap negara luar bagi membekalkan vaksin kepada negara ini.
“Kita turut boleh menghasilkan lebihan vaksin untuk dipasarkan ke pasaran global dan membekalkan vaksin kepada seluruh dunia,” ujarnya lagi.
Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob PPVN serta MGVI dalam usaha menjadikan negara sebagai antara hab pengeluar vaksin di samping meningkatkan keyakinan terhadap penggunaan vaksin.
PPVN | Malaysia mampu keluarkan produk vaksin sendiri