PPV pandu lalu akan diperluas ke seluruh negara - Dr Noor Azmi
Bernama
Jun 4, 2021 19:44 MYT
Jun 4, 2021 19:44 MYT
IPOH: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) secara pandu lalu akan diperluaskan ke seluruh negara dalam usaha mencapai imuniti kelompok dengan segera, kata Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Dr Noor Azmi Ghazali.
Beliau berkata pemberian suntikan secara pandu lalu dapat dijalankan dengan mudah serta mempercepatkan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan terutamanya bagi suntikan dos kedua vaksin.
"Memang apa yang kita dapat lihat pilot study (kajian rintis) dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) (di Kelantan) berjaya dan sekarang Hospital Pakar Kanak-Kanak Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) (di Cheras) serta daerah Kinta di sini pula akan buat, maka saya percaya cara pandu lalu ini akan tambahkan bilangan orang yang disuntik vaksin.
"Pandu lalu ini tentu memudahkan terutamanya melibatkan pemberian dos kedua yang dapat dipercepatkan," katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan lawatan rasmi ke PPV Kinta di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Katanya dua lagi PPV pandu lalu di Perak iaitu di Stadium Indera Mulia dan Bulatan Sultan Azlan Shah, Bandar Meru Raya bagi daerah Kinta akan dimulakan pada 10 Jun ini dengan sasaran 2,400 suntikan sehari berbanding 1,800 dos sebelum ini.
Dr Noor Azmi berkata Kementerian Kesihatan telah mengadakan perjumpaan dengan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), baru-baru ini bagi mempercepatkan penghantaran lebih banyak bekalan vaksin ke negeri ini.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam) Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan terdapat individu yang tidak disenaraikan menerima vaksin COVID-19 di PPV Dewan Bandaran Teluk Intan.
"Kami sudah mengambil maklum akan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan mengenai dakwaan terdapat individu (pemohon) fasa ketiga yang dapat, jadi kami akan mengeluarkan kenyataan media mengenai perkara itu," katanya.
Baru-baru ini, tular gambar senarai penerima di media sosial bahawa doktor di PPV itu didakwa menyelitkan nama penerima vaksin yang tiada dalam senarai dan ia dikatakan bukan kejadian kali pertama.
-- BERNAMA
#PPV
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV pandu lalu
#imuniti kelompok
#Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan
#vaksin
#program vaksinasi
#Timbalan Menteri Kesihatan
#Dr Noor Azmi Ghazali
#COVID-19