PPV Mega WTCKL mula pemberian vaksin AZ dos kedua sumbangan UK

Fareez Azman
Ogos 13, 2021 08:39 MYT
Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay mengadakan lawatan di Pusat Pemberian Vaksin Mega World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV Mega WTCKL). - Foto: WTCKL
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTCKL) memulakan pemberian vaksin AstraZeneca bagi dos kedua sumbangan United Kingdom (UK).
Perkara itu dimaklumkan Pengarah Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim dalam kenyataan media pada Jumaat.
"Sumbangan ini sangat bermakna dalam membantu meningkatkan kadar vaksinasi di Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada TYT Charles Hay, Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia atas kesudian melawat Pusat Pemberian Vaksin Mega World Trade Centre Kuala Lumpur (PPV Mega WTCKL) pada hari Khamis.
"Alhamdulillah, PPV Mega WTCKL tidak terkecuali dalam memberikan vaksin AstraZeneca yang telah disumbangkan oleh UK bermula pada hari ini," katanya.
Turut mengiringi lawatan Pesuruhjaya Tinggi Britain itu ke PPV Mega WTCKL, Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr Hishamshah Mohd Ibrahim.
Pada masa sama, Irmohizam turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada kerajaan UK atas sumbangan vaksin berkenaan.
Sehingga kini, dianggarkan seramai 800,000 penerima telah diberikan vaksin AstraZeneca.
#AstraZeneca #Britain #COVID-19 #dos kedua #Kuala Lumpur #Malaysia #PICK #PPV #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Pusat Pemberian Vaksin #United Kingdom #vaksin #WTCKL