PPV mega akan diperbanyakkan di serata negeri - MB Johor
Israr Khalid
Jun 16, 2021 08:13 MYT
Jun 16, 2021 08:13 MYT
Kuala Lumpur: Lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin (PPV) mega akan dibuka di setiap daerah di negeri Johor dalam usaha membantu kerajaan pusat mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat.
Menurut Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad, bukan setakat PPV statik di kompleks-kompleks, tetapi juga PPV bergerak turut dipergiatkan supaya ia sampai ke segenap pelusuk negeri.
“Di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, kita menjalankan pemberian vaksinasi kepada 3,000 orang sehari, berjalan sehingga 27 Julai.
“PPV seperti di Persada itu akan diperbanyakkan, bukan hanya di Johor Bahru tetapi di daerah-daerah lain supaya kita boleh suntik lebih ramai lagi, untuk akhirnya pada bulan Oktober yang kita sasarkan itu, insya-Allah dapat kita capai,” katanya.
Pada Khamis, kerajaan negeri Johor mengumumkan Ihsan 3.0, Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) bernilai RM241 juta merangkumi 33 inisiatif bertunjangkan dua fokus utama.
Tumpuan Ihsan 3.0 itu adalah bagi memperkasakan pengurusan pandemik dan mengukuhkan bantuan keselamatan sosial bagi meringankan beban ditanggung rakyat Johor ekoran penularan pandemik COVID-19.
Maka itu, beliau mensasarkan senarai penerima pakej rangsangan Ihsan 3.0 dapat dilengkapkan dalam masa terdekat, pada masa sama setiap bakal penerima digalakkan supaya mendaftarkan diri dalam program vaksinasi.
“Oleh kerana tidak kurang daripada 1 juta yang akan menerima faedah daripada stimulus pakej Ihsan Johor 3.0 ini, maka saya percaya itu akan membolehkan kita mendaftar lebih ramai dalam satu tempoh masa yang cepat.
“Ini memerlukan kerjasama daripada semua pihak,” katanya.
Tonton sesi temu bual penuh MB Johor dalam Agenda AWANI bersama hos, Nazri Kahar, di sini:
#Agenda Awani
#Johor
#Ihsan 3 0
#Johor Bahru
#ekonomi
#COVID-19
#pandemik
#program vaksinasi
#Pusat Pemberian Vaksin
#PPV
#imuniti kelompok
#Hasni Mohammad
#vaksin
#daftar