PPV Integrasi WTCKL sedia beroperasi esok
Eton Khir
Januari 14, 2022 21:54 MYT
Januari 14, 2022 21:54 MYT
KUALA LUMPUR: Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) bersedia sepenuhnya untuk beroperasi sebagai Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi bagi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Penggalak (Booster) atau PICK-B.
Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL), Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim berkata terdapat beberapa pembaharuan dan penambahbaikkan bagi memastikan keselesaan, keselamatan, dan juga kelancaran sewaktu pemberian dos penggalak itu.
Jelasnya lagi, segala kemudahan itu termasuklah lanskap atau penyediaan perkhidmatan yang sewajarnya kepada semua peringkat usia penerima vaksin khususnya golongan orang kurang upaya (OKU).
"Kami juga telah berbincang dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan bahawa segala yang pernah kami lalui sebelum ini ditambah baik.
"Tidak kira sama ada dari segi lapangan tempat kereta mahupun dari segi perjalanan. Ini bagi memastikan pihak penerima vaksin tidak perlu menunggu lama dan disarankan agar semua yang menerima vaksin pada hari esok datang mengikut waktu yang telah ditetapkan," katanya ketika ditemui pada Jumaat.
Sementara itu, Irmohizam berkata, gabungan semua organisasi terlibat itu turut mencerminkan tahap keseriusan dan komitmen pihak WTCKL bagi penerima vaksin PPV itu.
"Bukan hanya dari segi kakitangan bahkan tenaga kakitangan sukarelawan sama ada di peringkat sukarelawan belia, orang awam serta penglibatan semua anggota badan uniform ini yang dianggarkan hampir berjumlah 600 sehingga 700 orang.
"Usaha ini setidaknya akan memberikan gambaran keseriusan yang ingin ditunjukkan oleh WTCKL bagi kelancaran sepanjang program ini dilaksanakan," katanya lagi.
Sebanyak 9,000 dos vaksin AstraZeneca akan disediakan di lokasi berkenaan setiap hari bermula jam 8.30 pagi hingga 9 malam yang dijadualkan bermula pada 15 Januari sehingga 15 Mac 2022.