PPV IDCC Shah Alam dibuka semula esok

Ridauddin Daud
Julai 13, 2021 13:25 MYT
Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai tidak perlu risau untuk hadir ke PPV berkenaan memandangkan langkah keselamatan termasuk sanitasi sudah dijalankan.
KUALA LUMPUR: Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam akan dibuka semula esok selepas ditutup sehari pada Selasa susulan 204 petugas di PPV itu disahkan positif COVID-19.
Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, orang ramai tidak perlu risau untuk hadir ke PPV berkenaan memandangkan langkah keselamatan termasuk sanitasi sudah dijalankan.
Mengulas dari mana semua petugas di PPV itu mendapat jangkitan, Khairy memaklumkan agak sukar untuk memastikannya buat masa ini.
“Kita tak pasti siapa yang berjangkit di IDCC, siapa yang berjangkit di luar sebab kes di Selangor terlalu tinggi.
“Tapi berita yang sedikit baik adalah berkenaan ‘load virus’ mereka yang menunjukkan (takat) rendah,
“Ini mungkin juga disebabkan sebahagian daripada mereka sudah divaksinasi,” katanya dalam sidang media khas berkenaan perkara itu secara maya pada Selasa.
Tambahnya, semua yang didapati positif juga tidak mengalami gejala serius.
Hari ini, Astro AWANI melaporkan seramai 204 sukarelawan di PPPV IDCC, Shah Alam disahkan positif selepas saringan beramai-ramai dilakukan pada 10 Julai.
BACA: 204 petugas di PPV IDCC Shah Alam positif COVID-19
Khairy berkata, saringan COVID-19 beramai-ramai kepada petugas di IDCC dibuat sebaik sahaja pihaknya mendapat laporan mengenai dua sukarelawan yang disahkan positif.
Justeru, beliau menyarankan penerima vaksin yang hadir di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam pada 9 Julai daripada jam 4 petang disaran memantau sebarang gejala COVID-19 selama 10 hari.
Mereka yang hadir pada 10, 11 dan 12 Julai juga disarankan memantau gejala dan kawalan kendiri selama 10 hari.
#COVID-19 #Pusat Pemberian Vaksin #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #shah alam #PPV IDCC #PPV #vaksin
;