PPV Dewan Masyarakat Keningau sesak, warga asing berbaris seawal 3 pagi

Syah Hairizal Kamalul Arifin
Ogos 14, 2021 17:26 MYT
Ini keadaan di luar pekarangan PPV Dewan Masyarakat Keningau.
KENINGAU: Berbaris seawal jam 3 pagi bagi mendapatkan slot janji temu vaksin secara walk-in.
Itu yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Dewan Masyarakat Keningau apabila warga asing mengambil keputusan untuk mengejar masa dan slot yang terhad disediakan penyelaras program imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Keningau.
Kesesakan di hadapan pintu masuk PPV itu bagimanapun berjaya dikawal sepenuhnya oleh pasukan keselamatan bertugas.
Menurut Pegawai Perubatan Kesihatan Kawasan Keningau yang juga penyelia PPV itu, Dr Abdul Qayyum Jumidey berkata kesesakan hampir serupa telah dialami di PPV tersebut pada minggu lalu
Jelasnya antara punca kesesakan adalah kerana terdapat warga asing yang tidak tahu menggunakan aplikasi MySejahtera dan mereka tiada maklumat lengkap.
"Pada minggu lalu kita telah mengalami insiden serupa dengan keadaan bersesak di pekarangan dewan dan di luar pintu masuk dewan. Pada kejadian tersebut pihak keselamatan berjaya mengawal keadaan dan kebanyakan yang hadir diminta pulang," katanya kepada Astro AWANI pada Sabtu.
PPV Sesak | Penerima w PPV di Keningau, tidak terima maklumat lengkap
Jelas Dr Abdul Qayyum Jumidey, PPV Dewan Masyarakat Keningau menawarkan 2,500 slot untuk yang mempunyai janji temu manakala 500 slot untuk individu walk-in.
Katanya, daripada 500 kuota walk-in, 250 slot diberikan kepada penduduk tempatan manakala 250 lagi untuk warga asing.
"Sebab itu ada warga asing yang sanggup berbaris seawal 3 pagi untuk mendapatkan slot janji temu pada hari yang sama. Apabila slot sudah dipenuhi mereka akan diarahkan pulang dan tidak menunggu di pekarangan PPV," katanya.
Tambah Dr Abdul Qayyum, PPV Dewan Masyarakat Keningau beroperasi setiap hari bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.
Sementara itu, bagi Marianus Mao Meka, warganegara Indonesia, dia dan rakan-rakan diminta oleh majikan untuk ke PPV itu tanpa mengetahui maklumat dan kuota janji temu yang ditetapkan.
"Kami datang ke sini dari Sook pada pukul 3 pagi dan kami dihantar oleh majikan kami. Majikan suruh datang awal kerana terlampau ramai orang tetapi sekarang tidak dapat masuk," katanya.
#Kesesakan PPV #PPV Keningau #Dr Abdul Qayyum Jumidey #Keningau #Sabah #vaksin
;