PPV Bergerak HCTM: Netizen teruja Dr Noor Hisham jadi vaksinator

Astro Awani
Jun 26, 2021 19:19 MYT
Dalam perkongsian yang turut dilampirkan beberapa foto, para netizen teruja dengan foto yang menunjukkan Dr Noor Hisham bertindak sebagai vaksinator semasa lawatan kerja lapangan tersebut. - Foto Facebook/Dr Noor Hisham Abdullah
KUALA LUMPUR: Program rintis Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak, Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) yang bermula sejak 14 Jun lalu menyaksikan seramai 1,230 penduduk sekitar Parit Sulong, Johor telah divaksin.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia merupakan sebahagian daripada usaha institusi pengajian tinggi tempatan untuk membantu kerajaan meningkatkan liputan vaksinasi COVID-19 penduduk Malaysia di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).
"Terdapat tiga cara penyampaian itu, pusat pemberian vaksin satelit di dewan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Batu Pahat bagi individu yang stabil.
"Perkhidmatan outreach vaksin yang berpusat di Balai Penghulu atau Ketua Kampung di kawasan seperti Semerah dan Kampung Seri Medan
"Lawatan rumah ke rumah dalam kawasan Semerah dan Kampung Seri Medan bagi pesakit yang terlantar di rumah atau warga emas atau orang kurang upaya yang tiada kemampuan fizikal atau mental untuk hadir ke PPV," kata beliau dalam perkongsian di Facebook.
Sumber Facebook DGHisham
Namun, dalam perkongsian yang turut dilampirkan beberapa foto, para netizen teruja dengan foto yang menunjukkan Dr Noor Hisham bertindak sebagai vaksinator semasa lawatan kerja lapangan tersebut.
Malah, para netizen menyifatkan ia satu memori berharga kepada mereka yang menerima suntikan vaksin COVID-19 daripada Dr Noor Hisham sendiri.
Hadir sama dalam lawatan kerja itu adalah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.
Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, satu garis panduan bagi pelaksanaan pemberian vaksin rumah ke rumah telah pun disediakan oleh Bahagian Pembangunan Kesihatan Keluarga, KKM.
"Ia bagi memastikan segala langkah diambil demi menjaga keselamatan penerima vaksin dan SOP berkaitan dipatuhi.
"Bagi warga emas terlantar yang kelihatan lemah, uzur dan sakit peringkat akhir (terminal illness), penilaian akan dilakukan oleh Pegawai Perubatan terlebih dahulu terhadap kesesuaian pesakit untuk menerima vaksin.
"Jutaan terima kasih diucapkan kepada kesemua sukarelawan terutamanya anak-anak muda Batu Pahat, pelajar-pelajar perubatan International Medical University (IMU) dan pengamal perubatan swasta yang membantu dalam program vaksinasi ini," katanya.
Sumber Facebook DGHisham
Justeru, Dr Noor Hisham berharap segala usaha itu akan dapat membantu negara dalam mencapai sasaran liputan imunisasi kelompok dengan secepat mungkin.
#Dr Noor Hisham Abdullah #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #PICK #PPV #Pusat Pemberian Vaksin #suntikan #program vaksinasi #Institusi Pengajian Tinggi #Batu Pahat #noraini ahmad #COVID-19 #warga emas
;