PPV Bas Bergerak MARA Liner mampu vaksin 800 penduduk luar bandar sehari
Bernama
Jun 26, 2021 17:53 MYT
Jun 26, 2021 17:53 MYT
SUNGAI SIPUT: Pusat pemberian vaksin (PPV) Bas Bergerak MARA Liner Sdn Bhd yang beroperasi memberi vaksin selama 10 jam sehari tanpa mengambil kira pendaftaran melalui MySejahtera, mampu memberi 800 suntikan sehari di sesuatu kawasan tertentu di luar bandar.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata 17 bas ekspres MARA Liner dijadikan sebagai PPV dan sebagai permulaan, dua buah bas pertama digerakkan di Orang Asli One Stop Centre (OAOSC) Bawong di sini hari ini melibatkan seramai 100 orang penerima termasuk 40 orang Tok Batin dan 60 warga emas Orang Asli.
"Sungai Siput menjadi lokasi pertama PPV Bas Bergerak MARA Liner sebagai usaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membawa suntikan vaksin COVID-19 ke kawasan perkampungan masyarakat Orang Asli," katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pemberian Vaksin Bas Bergerak Untuk Tok Batin dan Masyarakat Orang Asli di OAOSC Bawong di sini hari ini.
Beliau berkata PPV Bas Bergerak itu akan diteruskan ke Mersing, Johor dan ke kawasan-kawasan Orang Asli di seluruh negara sebagai antara usaha memastikan masyarakat luar bandar termasuk masyarakat Orang Asli tidak ketinggalan dalam mendapatkan suntikan vaksin bagi mengekang penularan pandemik itu.
VAKSIN-MARA 2 (AKHIR) SUNGAI SIPUT
Katanya program itu dijayakan melalui kerjasama di antara PPV Bas Bergerak MARA Liner, Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Kangsar, Hospital Daerah Sungai Siput serta beberapa agensi kerajaan lain.
"KPLB sentiasa berusaha untuk memberi penerangan jelas mengenai kebaikan suntikan vaksin COVID-19 kepada masyarakat luar bandar serta membantu mereka yang menghadapi kesulitan untuk bergerak ke PPV, dengan membawa PPV Bas Bergerak MARA Liner ini ke kawasan yang berdekatan dengan mereka," katanya.
Beliau berkata melalui usaha-usaha yang dilaksanakan itu, KPLB berharap agar kesemua 144,180 masyarakat Orang Asli di seluruh negara yang layak divaksin dapat menerima suntikan dengan segera bagi membantu pihak kerajaan mencapai sasaran imuniti kelompok sebelum akhir tahun ini.
Abdul Rahman berkata kini kian ramai Orang Asli yang inginkan vaksin, malah ada yang tidak sabar untuk mendapatkan suntikan kerana mereka mahu menjalani kehidupan seperti dahulu, termasuk berjalan di bandar tanpa memakai pelitup muka.
-- BERNAMA
#PPV Bas Bergerak
#mara liner
#penduduk luar bandar
#PICK
#vaksinasi
#Orang Asli
#bas
#diubah suai
#pusat vaksinasi