PPUM terima lebih 500 permohonan TVET melalui 'Kau nak belajar, abang bantu ko dik' - Akmal

Bernama
Jun 21, 2024 04:20 MYT
Muhamad Akmal berkata PPUM menyambut baik usaha berkaitan TVET, yang dijalankan kerajaan dalam memastikan pelajar lepasan SPM itu melanjutkan pelajaran. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (PPUM) telah menerima lebih 500 permohonan daripada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), melalui program 'Kau nak belajar, abang bantu ko dik', bagi membimbing mereka memohon melanjutkan pelajaran dalam bidang kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) melibatkan seluruh kawasan Parlimen.
Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh menerusi satu kenyataan pada Jumaat berkata PPUM menyambut baik usaha berkaitan TVET, yang dijalankan kerajaan dalam memastikan pelajar lepasan SPM itu melanjutkan pelajaran.
Pada 6 Jun, PPUM menganjurkan program tersebut yang bertujuan memberi peluang kepada pelajar lepasan SPM dan yang tidak mengambil SPM, untuk menyambung pelajaran dalam bidang diminati.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jasin berkata program itu dilakukan, bagi membuka mata mengenai kepentingan pendidikan serta memberikan peluang kepada mereka yang ingin mengubah kehidupan.
Pada 30 Mei, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa lepasan SPM yang mendapat keputusan cemerlang, supaya menimbang untuk memilih aliran TVET sebagai pilihan utama melanjutkan pelajaran.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO mahukan 10,160 lepasan SPM yang tidak hadir peperiksaan itu, untuk terus memohon memasuki bidang TVET.
Dr Akmal berkata PPUM melihat partisipasi, semangat juang di peringkat akar umbi adalah tinggi, petanda yang baik kepada institusi Pemuda.
"Akar umbi juga meletakkan harapan yang besar kepada pucuk pimpinan, untuk memberi tumpuan kepada hal-hal yang menjadi pertimbangan penting khususnya berkaitan peningkatan kos sara hidup melalui polisi kerajaan dan konfigurasi politik semasa," katanya.
-- BERNAMA
#PPUM #TVET #SPM #UMNO
;