PPSPM bangunkan Taman Sigua di Sungai Melaka

Bernama
April 26, 2022 10:50 MYT
PPSPM bakal membangunkan Taman Sigua di Sungai Melaka, dengan menaik taraf Pirate Park di lokasi sedia ada yang membabitkan kos RM8 juta. - Foto BERNAMA
MELAKA: Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM) bakal membangunkan Taman Sigua di Sungai Melaka, dengan menaik taraf 'Pirate Park' di lokasi sedia ada yang membabitkan kos RM8 juta.
Ketua Pegawai Eksekutif PPSPM Datuk Murad Husin berkata taman tema berkenaan ditutup sebelum ini, disebabkan beberapa masalah selain kerosakan peralatan dan sebagainya.
"Kita jenamakan semula Taman Sigua ini yang sinonim dengan imej biawak yang banyak didapati di Sungai Melaka dan ia akan dibaik pulih bermula tahun ini.
"Semua pengunjung yang menaiki 'Melaka River Cruise' (MRC) akan berpeluang untuk masuk ke taman tema ini, dengan pakej-pakej menarik yang bakal ditawarkan nanti," katanya pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa dan Majlis Penyampaian Anugerah Pekerja Cemerlang di sini pada Isnnin.
Hadir sama Exco Kanan Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan negeri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.
Mengulas lanjut Murad berkata selain Taman Sigua, PPSPM juga mengenal pasti peluang-peluang baharu seperti pengiklanan, pembangunan aktiviti-aktiviti pelancongan baharu di Sungai Melaka seperti pasar terapung, restoran terapung dan sebagainya bagi menambah tarikan sedia ada.
Katanya PPSPM juga menyasarkan seramai 700,000 pengunjung akan menggunakan perkhidmatan MRC tahun ini, dan optimis ia dapat dicapai berdasarkan kehadiran 167,688 pelancong direkodkan pada suku pertama tahun ini.
"Tahun lepas MRC mencatatkan kehadiran pelancong seramai 319,671 orang dan jumlah keseluruhan sejak mula diperkenalkan pada 2006 adalah 12,091,905 orang," katanya.
-- BERNAMA
#Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka #PPSPM #Taman Sigua #Murad Husin
;