PPSMI: Kerajaan mahu pastikan pelajar bersedia hadapi Revolusi 4.0 - Maszlee
Wan Syamsul Amly
Jun 21, 2019 00:05 MYT
Jun 21, 2019 00:05 MYT
Kerajaan mahu memastikan pelajar mendapat pendidikan berkualiti selain bersedia menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat (Industri 4.0).
Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menjelaskan, ia sekali gus persediaan untuk pelajar Malaysia bersaing di peringkat global.
"Kita akan memastikan bahawa rakyat Malaysia, anak-anak kita akan mendapat pendidikan yang berkualiti, memperlengkapkan diri mereka untuk dapat bersaing di peringkat global dan juga bersedia menghadapi Industri 4.0.
"Kita akan komited untuk memastikan pendidikan berkualiti diberikan kepada mereka," katanya semasa sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun DBP Ke-63 di Wisma DBP, di sini, pada Jumaat.
Maszlee berkata demikian semasa mengulas kenyataan Majlis Perundingan Melayu (MPM) dan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) yang mahu membuat bantahan jika terdapat perancangan untuk melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).
Sebelum ini, Setiausaha Agung MPM, Datuk Hasan Mad dilaporkan berkata, pihaknya akan meneruskan tekanan termasuk mengadakan himpunan cendekiawan Melayu pada 4 Julai ini dan meminta Komuniti Pendidikan majlis tersebut mengangkat isu tersebut.
Sementara itu, Presiden NUTP, Amiruddin Awang berkata, PPSMI bukan ubat yang sesuai untuk merawat masalah para pelajar yang gagal menguasai bahasa asing itu.
Sebelum ini, bekas Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, kerajaan juga perlu mengambil perhatian khusus tentang bagaimana untuk menyediakan guru-guru yang boleh mengajar subjek Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris kerana negara ketika ini berdepan dengan masalah tersebut.
Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini menyeru rakyat Malaysia agar meningkatkan tahap kemahiran dan pengetahuan dalam bidang perniagaan bagi mendepani Industri 4.0 yang berteraskan teknologi digital.
Jelasnya, perkara itu perlu dititikberatkan bagi memastikan matlamat negara tercapai.
#Industri 4 0
#IR 4 0
#kerajaan
#Mahathir Mohamad
#Maszlee Malik
#Melayu
#MPM
#NUTP
#pelajar
#pendidikan
#pendidikan berkualiti
#Perdana Menteri
#peringkat global
#PPSMI
#Revolusi Perindustrian Keempat
#Sains