PPSMI dasar yang gagal, merugikan anak-anak kita - Khaled Nordin

Astro Awani
Februari 1, 2020 11:07 MYT
Cadangan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baharu, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Cadangan melaksanakan semula Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) menunjukkan kegagalan kerajaan untuk tampil dengan dasar yang segar dan baharu, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Bekas Menteri Pengajian Tinggi itu turut menyifatkannya sebagai langkah mundur dalam pembangunan negara.
Jelasnya, setelah lebih enam dekad mencapai kemerdekaan, masih ramai pemimpin yang tidak ada keyakinan menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.
"Sudahlah mereka tidak mampu bertutur dengan baik dalam Bahasa Melayu. Mereka menganggap pula Bahasa Melayu sebagai bahasa mundur dan bukan medium yang sesuai untuk menjadi bangsa maju.
"Sebenarnya, hanya bangsa yang lemah akan memandang rendah dan tidak yakin dengan kemampuan bahasa ibundanya.
"Bangsa yang kuat, berani dan patriotik tidak akan sama sekali membelakangkan bahasa asalnya. Sebaliknya akan sentiasa mencari jalan untuk melonjakkannya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Pada masa sama, beliau berkata usaha memajukan bangsa dalam sains dan teknologi mesti dilakukan dengan tidak mengorbankan identiti dalam berbangsa dan bernegara.
Beliau memberi contoh bagaimana masyarakat Cina di negara ini mempertahankan institusi sekolah vernakular mereka tanpa tolak ansur dan kompromi.
"Mereka memperjuangkannya bermati-matian. Bukan kerana kurikulum sekolah kebangsaan kurang ampuh dan tidak setanding.
"Tetapi kerana di sekolah vernakular, semua itu dilaksanakan dalam Bahasa Mandarin. Bahasa yang memberikan mereka identiti sebagai bangsa Cina.
"Bahasa yang menghubungkan mereka dengan sejarah penghijrahan mereka. Bahasa yang mesti mereka pertahankan kerana itulah satu-satunya yang membezakan mereka dengan bangsa lain di dunia.
"Jadi, kalaupun kita tidak menganggapnya sebagai lebih baik, setidak-tidaknya mengapa kita tidak mahu memberikan nilai dan maruah yang sama kepada Bahasa Melayu?" tegasnya.
Selain itu, kata Mohamed Khaled, sains dan teknologi hanya akan terbangun melalui budaya penerokaan, komitmen kepada kemajuan ilmu dan pelaburan yang bersungguh-sungguh untuk membangunkan masyarakat saintifik.
Pada masa sama, beliau mempersoalkan apakah ukuran yang cuba dilakukan melalui pengenalan semula PPSMI sama ada melalui kompetensi dan ilmu atau kemampuan berbahasa.
Justeru, katanya, pelaksanaan PPSMI merugikan generasi muda.
"Pelaksanaan PPSMI adalah dasar yang gagal dan akan merugikan anak-anak kita semua. Ingatlah jurang pemisahan antara bandar dan luar bandar adalah sangat nyata di Malaysia ini.
"Begitu juga jurang keberadaan dalam bandar antara yang miskin dan kaya. Anak-anak kita, tidak berada di padang yang sama rata.
"Kesenjangan di Malaysia adalah nyata dan benar. Melaksanakan PPSMI ini akan hanya melebarkan lagi jurang keberadaan ini," kata Mohamed Khaled.
Malah, katanya, UMNO akan memperjuangkan penggunaan bahasa ibunda untuk pendidikan kebangsaan tanpa kompromi.
"Kami tidak akan bersetuju dengan dasar yang ternyata telah gagal sebelum ini dan mengulangi kesilapan besar tersebut," ujarnya.
#kerajaan #Khaled Nordin #Malaysia #Matematik #Melayu #menteri #Mohamed Khaled Nordin #pendidikan #Sains #sekolah #UMNO
;