PPS polis buat pemantauan di sekolah

Bernama
Januari 20, 2021 04:14 MYT
Bagi daerah SPU, sebanyak 32 sekolah menengah dibuka semula dengan jumlah pelajar 9,800 orang membabitkan Tingkatan 5 dan 6. -Bernama
BUTTERWORTH: Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan sentiasa memantau sekolah menengah yang mula dibuka semalam bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Noorzainy Mohd Noor berkata bagi daerah SPU, sebanyak 32 sekolah menengah dibuka semula dengan jumlah pelajar 9,800 orang membabitkan Tingkatan 5 dan 6.
"Saya telah arahkan PPS polis yang terdiri daripada pegawai berpangkat inspektor dan ke atas di daerah SPU untuk hadir menyambut pelajar di sekolah masing-masing setiap hari, dalam masa sama memastikan keadaan persekitaran selamat.
"Selain itu, mereka juga perlu membuat rondaan di dalam kelas bagi memastikan SOP dipatuhi terutama dari segi penjarakan fizikal dalam usaha membendung penularan wabak COVID-19," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Pulau Pinang Abdul Rashid Abdul Samad ketika dihubungi berkata beliau masih belum menerima data keseluruhan jumlah pelajar dan sekolah yang dibuka semalam.
-- BERNAMA
#COVID-19 #PKP #Pelaksanaan PKP #Pegawai Perhubungan Sekolah #perintah kawalan pergerakan #Noorzainy Mohd Noor #Tingkatan 5
;