PPS perlu dilengkapi fasiliti mesra OKU

Bernama
Oktober 22, 2022 17:29 MYT
Pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir perlu dilengkapi dengan fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan pergerakan serta memberi keselesaan kepada golongan itu. - Gambar fail/BERNAMA
PUTRAJAYA: Pusat pemindahan sementara (PPS) untuk mangsa banjir perlu dilengkapi dengan fasiliti mesra Orang Kurang Upaya (OKU) bagi memudahkan pergerakan serta memberi keselesaan kepada golongan itu.
Pengerusi Persatuan Orang Kurang Upaya Putrajaya (PROcJAYA) Azhari Ibrahim berkata warga OKU yang ditempatkan di PPS akibat banjir memerlukan fasiliti seperti tandas yang mudah diakses serta beberapa kemudahan lain.
"Saya minta penambahbaikan terhadap perkara ini di PPS, jika berlaku bencana kemudahan untuk OKU perlu disediakan di penempatan berkenaan.
"Pihak pengurusan juga perlu mengenal pasti adakah OKU boleh ditempatkan di PPS dalam tempoh lebih seminggu sekiranya tiada kemudahan asas," katanya kepada pemberita pada bengkel latihan dan prosedur operasi standard (SOP) OKU dalam menghadapi risiko bencana di sini hari ini.
Mengenai bengkel anjuran Perbadanan Putrajaya (PPj) itu, beliau berkata program itu bagi mendedahkan golongan OKU dengan SOP yang perlu dilakukan sekiranya berlaku bencana seperti banjir oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Angkatan Pertahanan Awam.
Sementara itu, Pengarah Bahagian Pembangunan Mampan dan Perumahan, Jabatan Perancangan Bandar PPj Noor Sita Abbas berkata pihaknya akan menganjurkan bengkel latihan itu secara bersiri bagi membolehkan lebih ramai OKU mendapat maklumat mengenai SOP ketika bencana.
"Kita akan buat 10 siri lagi dan akan terus mendidik OKU mengenai SOP yang perlu diamalkan jika berlaku bencana," katanya.
-- BERNAMA
#Pusat Pemindahan Sementara #PPS #mangsa banjir #mesra OKU
;