PPS diharamkan: Guan Eng arah peguam negeri buat semakan kehakiman
Astro Awani
November 5, 2014 17:40 MYT
November 5, 2014 17:40 MYT
Kerajaan negeri Pulau Pinang akan membuat semakan kehakiman berhubung keputusan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengisytiharkan Pertubuhan Peronda Sukarela (PPS) sebagai pertubuhan haram.
Ketua Menterinya, Lim Guan Eng berkata, semakan itu akan dibuat dalam masa terdekat dan akan diketuai oleh peguam Jagdeep Singh Deo.
Menurut Lim, tindakan membuat keputusan itu tanpa sebarang perbincangan dengan kerajaan negeri selain siasatan teratur dilihat sebagai tidak menghormati prinsip undang-undang di negara ini.
“Kami akan merundingkan perkara ini dengan peguam-peguam kerajaan negeri untuk melancarkan prosiding perundangan supaya semakan kehakiman ke atas pengumuman yang dibuat Menteri Dalam Negeri,” kata Guan Eng.
Guan Eng juga berkata, PPS sebagai sebuah badan sukarela tidak memberi elaun kepada ahlinya malah pertubuhan itu tidak mempunyai sebarang aset kerana ia didaftarkan di bawah kerajaan negeri.
“Kami membantah tindakan yang dibuat oleh Menteri Dalam Negeri berhubung isu pengharaman PPS di Pulau Pinang,” ujar Guan Eng dalam sidang media di Komtar, George Town hari ini sambil menyifatkannya sebagai berniat jahat.
Semalam, Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5 (1) Akta Pertubuhan 1966.
Sebaik ia diisytiharkan haram, tiada sesiapa tidak boleh menggunakan semula simbol, lambang atau logo PPS berdasarkan peruntukan Seksyen 7 (3) (b) Akta Pertubuhan 1966. Segala aset PPS juga perlu diserahkan kepada Jabatan Insolvensi Malaysia.
Jika arahan itu tidak dipatuhi, mereka boleh didakwa di bawah Akta Pertubuhan 1966.
Pada 31 Ogos lepas sempena perarakan Hari Merdeka di Esplanade, 154 anggota PPS ditahan kerana ingkar amaran untuk tidak menjalankan aktiviti selepas didapati tidak berdaftar dengan pendaftar pertubuhan.
Ia disusuli penahanan anggota Exco Kebajikan Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar Pulau Pinang yang merangkap Pengerusi PPS, Phee Boon Poh, pada hari yang sama dan anggota Dewan U|ndangan Negeri (ADUN) Seri Delima, RSN Rayer sehari selepas itu.
Timbalan Pengerusi PPS merangkap anggota Parlimen Tanjong Ng Wei Aik pula ditahan pada 4 September.