PPS berasingan untuk mangsa banjir positif COVID-19 di Kedah - Exco

Abd Hadi Che Awang
November 2, 2021 19:47 MYT
Penduduk menyifatkan antara punca banjir kali ini adalah disebabkan aliran longkang dan sungai tidak lancar selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam lewat petang semalam. - Gambar/ Astro AWANI
CHANGLUN: Beberapa lagi pusat pemindahan sementara (PPS) akan dibuka di negeri ini dalam masa terdekat bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir yang positif COVID-19.
Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Negeri Kedah, Datuk Halimaton Saadiah Saad, ia bagi memastikan proses pengasingan dapat dilakukan selain keselamatan mangsa banjir dapat dipantau dari semasa ke semasa.
"Insya-Allah (bagi daerah Kubang Pasu) kita akan buka satu lagi PPS kerana kita tahu sekarang kita hadapi masalah COVID-19, kita juga dapat (maklumat), yang mana ada mangsa banjir yang positif COVID-19, yang (sedang) dikuarantin (di rumah).
"Jadi (untuk Kubang Pasu) saya dah bincang dengan Pegawai Daerah untuk kita buka satu (lagi) PPS untuk mengasingkan individu positif yang dikuarantin supaya mereka tidak hadir di (PPS) Kampung Tradisi," katanya di sini, hari ini.
Sementara itu, tinjauan Astro AWANI di sekitar Changlun mendapati rata-rata penduduk menyifatkan antara punca banjir kali ini adalah disebabkan aliran longkang dan sungai tidak lancar selepas hujan lebat berterusan lebih dua jam lewat petang semalam.
Penduduk, Mohd Nizam Saidin, 47, yang juga kakitangan Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata: "Masalah parit tersumbat salah satu penyebabnya, oleh kerana air terlalu banyak yang turun, hujan dalam masa dua jam, air tak sempat nak mengalir lancar, jadi ia melimpah.
"Air kemudian masuk ke dalam rumah. Mujur kita sudah dapat jangka jadi kita dah alih barang berharga ke tempat tinggi," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Seorang lagi penduduk, Yusoff Hashim, 74, yang juga pesara tentera, berkata: "Banjir seperti ini pernah berlaku tapi tak teruk macam ini. Air melimpah dengan cepat dan masuk ke rumah.
"Arus pun agak deras, tak sempat nak buat apa dah, nk usung isteri pun masalah sebab tak larat. Terpaksa tunggu bantuan," katanya.
Terdahulu, menerusi maklumat yang dikeluarkan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Negeri Kedah, jumlah mangsa banjir yang dilaporkan setakat jam 4 petang tadi meningkat kepada 665 mangsa berbanding 567 mangsa pada jam 12 tengah hari, melibatkan lima daerah di negeri itu.
Satu lagi PPS dibuka di Pendang iaitu PPS Dewan Cenderawasih menjadi jumlah keseluruhan meningkat kepada sembilan PPS yang menempatkan 183 keluarga, sehingga kini.
#banjir kedah #Changlun #PPS #COVID-19
;