PPPNP tingkatkan pengeluaran daging lembu halal tempatan

Bernama
April 6, 2023 07:20 MYT
Fokus utama PPPNP adalah untuk memperkasakan penggunaan daging lembu segar tempatan dan pada masa sama meningkatkan pendapatan penternak tempatan itu sendiri. - Foto fail/BERNAMA
IPOH: Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (PPPNP) melalui anak syarikatnya Eurofresh Sdn Bhd akan meningkatkan pengeluaran daging lembu halal tempatan sebagai antara langkah menjamin kelestarian sekuriti makanan negara, terutamanya di Perak.
Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata inisiatif itu sejajar dengan peranan dimainkan PPPNP selaku antara peneraju dalam bidang sekuriti makanan yang menjadi agenda utama bagi menjayakan pelan Perak Sejahtera 2030.
"Pada awal 2022 PPPNP telah membeli 2,500 ekor lembu daripada penternak tempatan untuk disembelih dan seterusnya dijual secara segar di beberapa lokasi pasar raya, hotel, pasar tani termasuk pasar mini.
"Usaha ini bagi mendukung aspirasi PPPNP dan kerajaan negeri dalam menambah sumber bekalan daging negara kerana kita masih berada pada tahap rendah selain terpaksa bergantung kepada bekalan daging import," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Menurut Saarani, fokus utama PPPNP adalah untuk memperkasakan penggunaan daging lembu segar tempatan dan pada masa sama meningkatkan pendapatan penternak tempatan itu sendiri.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PPPNP Yahanis Yahya berkata PPPNP mengorak langkah melalui pemasaran daging lembu segar dengan menggunakan jenama 'Lenggong Beef' yang mempunyai nilai komersial bagi tujuan pasaran di seluruh negara.
"Secara dasarnya ia merupakan langkah awal PPPNP dalam membangunkan Hab Daging Halal Perak (HDHP) di kawasan Lekir dan Manjung dengan keluasan melebihi 100 ekar melibatkan keseluruhan ekosistem merangkumi industri huluan (penternakan), pertengahan (pemprosesan) dan hiliran (pemasaran).
"Pembangunan HDHP juga dijangka bermula pada suku ketiga 2023 dan apabila siap sepenuhnya kelak, ia akan menjadi mercu tanda selaku lokasi utama hab daging halal utama di Perak khasnya dan negara khususnya," katanya.
Yahanis berkata projek berstatus berimpak tinggi itu merupakan antara projek utama dalam Pelan Perak Sejahtera 2030.
-- BERNAMA
#PPPNP #penternakan #sekuriti makanan #daging lembu segar
;