PPPKAM sokong pandangan sanitasi besar-besaran adalah pembaziran sumber
Madiha Abdullah
Jun 2, 2021 22:22 MYT
Jun 2, 2021 22:22 MYT
KUALA LUMPUR: Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPKAM) tampil menyokong teguran pakar perubatan berkaitan sanitasi secara besar-besaran yang dilaksanakan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Presiden PPPKAM, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata pelaksanaan sanitasi sedemikian merupakan satu pembaziran jika tidak dilakukan dengan sewajarnya.
"PPPKAM terpanggil untuk memberi pandangan, secara khususnya, secara solidariti menyokong Prof Datuk D Adeeba Kamarulzaman dalam Twitter dan Prof Datuk Dr Lokman Hakim dalam laman Facebook.
"Mereka menyatakan pandangan mengenai sanitasi besar-besaran merupakan satu pembaziran sekiranya dilaksanakan secara tidak bersasar dan tidak berasaskan maklumat sains yang terkini tentang langkah membendung penyebaran COVID-19.
"Di samping itu, bahan-bahan kimia yang digunakan dalam program sanitasi tersebut juga dikhuatiri akan membawa kesan yang buruk kepada masyarakat," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Justeru, beliau menyarankan semua pihak agar merujuk Kementerian Kesihatan (KKM) sebelum sanitasi besar-besaran dijalankan.
Katanya, semua kementerian tidak boleh lagi bekerja bersendirian, sebaliknya perlu mendapatkan pandangan pihak yang lebih pakar dan saling berkongsi sumber dalam usaha memutuskan rantaian COVID-19.
"Pelaksanaan sanitasi sebegitu besar juga ada faedahnya, terutama pada kawasan merah, jingga dan kuning bagi segera menurunkan beban virus COVID-19 dalam persekitaran.
"Namun ia perlu dilakukan secara bersasar terutama kawasan yang tertutup dengan pengudaraan yang kurang baik. Kesudian penduduk setempat atau pekerja dalam sesuatu kawasan juga perlu diambil kira sebelum sanitasi dilaksanakan," katanya.
Beliau berkata, banyak faktor yang perlu dipertimbangkan dan garis panduan yang perlu dipatuhi seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
"WHO menyarankan supaya sanitasi perlu bersasar terhadap kawasan dalam bangunan tertutup seperti tandas dan sinki, perabot dan alatan bangunan atau rumah, kaunter, pemegang tangga, lantai dan dinding.
"Ini termasuk bangunan yang dikunjungi oleh orang ramai seperti pusat komuniti, pasar, sistem pengangkutan dan komersial," katanya.
Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin, berkata sebanyak 284 lokasi di seluruh negara disanitasi secara besar-besaran selama dua hari bermula Sabtu lalu susulan peningkatan mendadak kes baharu COVID-19 di Malaysia.
Beliau dilaporkan berkata, operasi itu merupakan satu inisiatif KPKT melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
#sanitasi
#Kementerian Kesihatan
#COVID-19
#Pertubuhan Kesihatan Sedunia
#KKM
#KPKT
#besar-besaran
#Zuraida Kamaruddin