PPN: Kelantan berada di 'landasan baik' hampiri indikator fasa 3 - Exco

Bernama
Julai 25, 2021 19:03 MYT
Dr Izani yakin Kelantan mampu mencapai 70 peratus penduduk menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya pada Oktober ini. - Gambar/ Bernama
KOTA BHARU: Kelantan berada di 'landasan yang baik' untuk mencapai sasaran nilai ambang di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), sekali gus membolehkan negeri itu memasuki Fasa Tiga pelan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri Dr Izani Husin berkata, ini berdasarkan situasi jangkitan COVID-19 tidak begitu tinggi, manakala fasiliti kesihatan juga tidak tenat, selain menjadi antara negeri pertama beralih ke Fasa Kedua PPN ketika ini.
"Sekarang ini hanya vaksin sahaja sedang ke arah mencapai nilai ambang dengan 28.28 peratus penduduk Kelantan, sudah menerima satu dos suntikan vaksin COVID-19 dan 17.28 peratus lengkap dos kedua," katanya pada sidang media berhubung perkembangan situasi COVID-19 di Kelantan di pejabatnya di Kompleks Kota Darul Naim, di sini hari ini.
Bagi Fasa Tiga PPN, indikatornya termasuk purata kes harian menurun di bawah 2,000 kes, sistem kesihatan awam berada pada tahap selesa dengan penurunan kadar penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) ke paras mencukupi dan 40 peratus penduduk telah menerima dua dos suntikan vaksin.
Mengulas lanjut, Dr Izani turut yakin Kelantan mampu mencapai 70 peratus penduduk menerima suntikan vaksin selewat-lewatnya pada Oktober ini, susulan bilangan pusat pemberian vaksin (PPV) awam termasuk melalui program outreach vaksinasi yang mencukupi.
"Bekalan vaksin yang akan diterima oleh kerajaan Kelantan nanti, mencukupi untuk mencapai jangkaan tersebut," katanya sambil menambah sebanyak 60 peratus daripada kira-kira 1.2 juta penduduk Kelantan telah mendaftar sebagai penerima vaksin, antaranya melalui aplikasi MySejahtera.
Ditanya sama ada kerajaan Kelantan akan membeli vaksin Sinovac, beliau berkata selepas merujuk kepada Kementerian Kesihatan serta Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan, pihaknya berpendapat pembelian tidak perlu buat masa ini, kerana bekalan vaksin sedia ada mencukupi.
Pada 21 Julai lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan sebanyak 14 juta dos vaksin Sinovac akan dijual Pharmaniaga Bhd kepada syarikat swasta dan negeri yang berminat, mulai bulan ini hingga September.
#Kelantan #PPN #Pelan Pemulihan Negara #fasa 3 #Fasa 2 #Exco #rentas negeri #rentas daerah #Dr Izani Husin
;