PPN: Kebenaran dine-in antara cadangan KPDNHEP kepada MKN

Astro Awani
Julai 18, 2021 09:08 MYT
ROSOL: Kita juga meminta supaya MKN buka kebenaran untuk dine-in kerana ini keluhan yang kita terima daripada pemilik-pemilik restoran. - Gambar fail
HULU TERENGGANU: Kebenaran untuk makan di kedai atau restoran (dine-in) adalah antara cadangan yang akan dikemukakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hawal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kepada majlis keselamatan negara (MKN) minggu depan.
Menurut Timbalan Menteri Datuk Rosol Wahid, permohonan itu sebahagian langkah memulih dan merancakkan semula sektor yang terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP).
Jelasnya, pihaknya cakna terhadap cabaran dan tekanan yang dihadapi pemain industri dalam memastikan kelangsungan perniagaan masing-masing.
"Kita juga meminta supaya MKN buka kebenaran untuk dine-in kerana ini keluhan yang kita terima daripada pemilik-pemilik restoran.
"Kerana, apabila dine-in dibenarkan, maka rantaian itu akan berkembang. Apabila dine-in, ada orang yang basuh pinggan, ada jaga kaunter, ada tukang lap meja, ada tukang layan pelanggan dan sebagainya.
"Jadi, mereka menyeru dan memohon sungguh-sungguh untuk dibawa ke MKN," katanya ketika ditemui di sini pada Sabtu.
Justeru, pihaknya berharap MKN dapat mempertimbangkan kelulusan cadangan tersebut dalam kadar segera khususnya di negeri yang telah berada pada fasa kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan lebih 100 pengusaha kedai makan, restoran serta kafe di Terengganu merayu agar pihak kerajaan mempertimbangkan kebenaran untuk makan dan minum di kedai berikutan negeri itu telah beralih kepada fasa kedua PPN.
Para peniaga berkata, perniagaan mereka ketika ini bagaikan telur di hujung tanduk susulan pelaksanaan PKP yang dilaksanakan secara berperingkat sejak Mac tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
#ekonomi #peniaga #COVID-19 #pandemik #perintah kawalan pergerakan #PKP #Majlis Keselamatan Negara #MKN #dine in #Rosol Wahid #terengganu
;