PPN Fasa 2: Tradisi memasuk bubur Asyura eratkan silaturahim

Nur Fazlizai Ali
September 12, 2021 08:15 MYT
Anggota polis dan Rela ditugaskan bagi memastikan pematuhan SOP sepanjang program itu. - Astro AWANI
HULU TERENGGANU: Tradisi memasak bubur Asyura mendapat sambutan meriah daripada penduduk di Hulu Terengganu walaupun dalam suasana norma baharu.
Pegawai Perhubungan dan Pembangunan Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Zawawi Ismail berkata aktiviti berkenaan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Menurut Mohd Zawawi, ia melibatkan penyertaan empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing diwakili 10 peserta yang ditugaskan secara bergilir.
"Kita tidak mahu menjadi satu perkumpulan yang begitu ramai. InsyaAllah dengan keadaan khemah di kawasan yang lapang ini, saya dapati mereka telah mematuhi SOP yang ditetapkan," katanya.
Menurut penduduk Makhri Mamat, program tersebut sangat dinanti-nantikan kerana hampir dua tahun mereka tidak dapat melaksanakan program melibatkan orang ramai.
"Saya kira ini satu program yang cukup dinanti-nantikanlah sebab hampir dua tahun kita tidak melaksanakan program beramai-ramai begini.
"Tetapi walaupun dibenarkan untuk kita hadir pada program Asyura ini, SOP tetap dapat dijaga," katanya.
Sementara itu Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid berkata, anggota polis dan Rela ditugaskan bagi memastikan pematuhan SOP sepanjang program itu.
"Apabila kita dibenarkan untuk mengadakan program, maka ini program pertama selepas kita memasuki Fasa 2 PPN di peringkat negeri Terengganu.
"Maka sambutannya menggalakkan kerana nampak masyarakat kita sudah lama terkurung dan sebenarnya program ini adalah untuk melahirkan rasa perpaduan, rasa muhibah dan eratkan silaturahim dalam kalangan kita di Parlimen Hulu Terengganu ini," katanya.
Terdahulu, Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan bahawa Terengganu akan beralih ke Fasa 3 PPN selewat-lewatnya akhir bulan ini.
#bubur asyura #PPN #SOP #terengganu
;