PPN 2.0: Kaji terlebih dahulu pencapaian PPN sedia ada - Pakar

Madiha Abdullah
Januari 11, 2022 12:41 MYT
Apa yang lebih penting kini adalah memastikan semua pelan di bawah PPN yang sedia ada diperkukuhkan dan mencapai objektif. - Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Mesyuarat Majlis Pemulihan Negara (MPN) mencadangkan satu lagi Pelan Pemulihan Negara dirangka untuk pemulihan pasca COVID-19.
Namun, Pakar Pengurusan Risiko Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan, Universiti Malaysia Sabah, Prof Madya Dr Shamsul Bahari Shamsudin, berpendapat, apa yang lebih penting kini adalah memastikan semua pelan di bawah PPN yang sedia ada diperkukuhkan dan mencapai objektif, sebelum pelan baharu dirangka.
"Persediaan awal ini baik tetapi tempoh masa pelaksanaan juga kritikal. Saya berpendapat pelan baharu atau PPN 2.0 ini boleh dilaksanakan selepas penilaian dan pengukuran penuh pencapaian PPN 1.0 dulu dijalankan.
"Selagi belum ada penilaian penuh, sama ada objektifnya tercapai atau sebaliknya, agak sia-sia perancangan untuk PPN 2.0 kerana ada kemungkinan kita tidak boleh capai objektifnya sebaik mungkin," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, hari ini.
Tegasnya, pengukuhan PPN sedia ada amat penting ketika ini kerana negara dilihat bukan sahaja masih bergelut dengan jangkitan COVID-19 tetapi juga isu-isu lain yang memberi tekanan kepada sistem ekonomi dan sosial.
"Pengukuhan pelan sedia ada perlu sebab kita tak nak pelbagai pelan dibuat tetapi rakyat dan negara masih bergelut dan dibebani dengan jangkitan COVID-19, kemunculan varian baharu, isu vaksinasi, pelanggaran SOP dan sebagainya.
"Kena faham tekanan ekonomi dan sosial masih tinggi, malah kita juga dikejutkan dengan bencana alam yang memberi impak dan banyak negeri terlibat masih bergelut untuk pulih.
"Kalau dilihat PPN 1.0 mempunyai empat fasa dengan tiga indikator iaitu kadar penularan harian, keupayaan sistem kesihatan iaitu bilangan katil dalam wad kecemasan dan tahap vaksinasi.
PPN | Wajarkah Pelan Pemulihan Negara 2.0?
"Kalau kita lihat pada indikator ini kita belum capai sepenuhnya kecuali penggunaan katil wad kecemasan nampak menurun kerana proses vaksinasi yang aktif.
"Tetapi jangkitan COVID-19 harian masih empat digit, vaksinasi pun belum 100 peratus dan kita dikejutkan pula dengan kes pemalsuan sijil vaksinasi. Ini semua perlu diberi perhatian terlebih dahulu," ujarnya.
Pengerusi MPN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin berkata PPN 2.0 perlu dirangka secara menyeluruh dan inklusif dengan membabitkan semua pemegang taruh termasuk pihak swasta.
Mesyuarat sama juga bersetuju menubuhkan pasukan kerja bagi meneliti sektor ekonomi penting dan perlu dibantu untuk dipulihkan dengan segera.
#Pelan Pemulihan Negara #PPN #COVID-19 #ekonomi #Muhyiddin Yassin
;