PPMM sambut baik pendirian M'sia tolak hak-hak LGBT

Bernama
November 21, 2012 15:37 MYT
Pendirian kerajaan yang berterusan menolak nilai-nilai barat mengenai lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mampu menghalang ideologi dan budaya berteraskan LGBT itu daripada terus
menular dalam masyarakat.
Malah, tekad kerajaan menentang segala usaha memperjuangkan hak asasi manusia berdasarkan ketaksuban ideologi berteraskan acuan sekular itu turut dikembangkan ke negara serantau melalui Deklarasi Hak Asasi Manusia Asean yang ditandatangani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak baru-baru ini.
Naib Presiden Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Azril Mohd Amin berkata penegasan sikap yang rasional oleh Perdana Menteri itu mampu menyekat usaha menyebarkan budaya dan ideologi LGBT di negara ini.
"PPMM mengalu-alukan penegasan sikap yang rasional itu dan pendirian perdana menteri itu sangat jelas dan mencerminkan semangat dan inspirasi deklarasi itu sendiri," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai deklarasi yang ditandatangani Najib bersama sembilan pemimpin lain Asean semasa Sidang Kemuncak Asean ke-21 di Kemboja Ahad lepas, antara lain, melindungi hak rakyat di semua bidang kehidupan meliputi kanak-kanak hingga wanita.
Azril mahu supaya pendirian tegas kerajaan itu sekali lagi diulangi ketika Malaysia dinilai oleh Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada sesi 'Universal Periodic Review' tahun depan.
Beliau berkata kerajaan perlu konsisten dalam mempertahankan pendirian yang dibuat.
Azril berkata sikap itu bukan sahaja akan menyerlahkan kepimpinan Malaysia yang berwibawa di kalangan negara-negara Asean dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), tetapi memberikan panduan yang dapat dicontohi masyarakat dunia.
"Dengan itu, pendirian Malaysia semasa 'Universal Peridoc Review' kelak perlu menyerlahkan sikap yang kukuh dan konsisten dalam berdepan serangan pemikiran liberal-sekular yang ingin memberi kebebasan tanpa batas dalam isu kebebasan beragama dan LGBT," katanya.
#Azril Mohd Amin #LGBT #Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM)
;