PPM Wilayah Satu serbu rumah, rampas rokok seludup RM5.12 juta
Bernama
November 16, 2023 13:56 MYT
November 16, 2023 13:56 MYT
GEORGE TOWN: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang merampas 24,500 karton rokok putih bernilai lebih RM5.12 juta dalam serbuan terhadap sebuah premis di Jalan Choong Lye Hock di sini, Selasa lepas.
Komander PPM Wilayah Satu Pulau Pinang ACP Shamsol Kassim berkata serbuan Op Taring Landai Kontraban sekitar 6 petang oleh sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) dilakukan selepas 48 jam pemantauan terhadap sebuah rumah teres dua tingkat dipercayai menjadi stor penyimpanan rokok itu.
"Hasil pemantauan sejak 12 Nov tiada orang yang hadir ke situ justeru pada 14 Nov, kita telah membuat pemeriksaan dan merampas 490 kotak berisi 24,500 karton rokok bersamaan 4.9 juta batang rokok putih jenama Manchester dianggarkan bernilai RM5.12 juta termasuk cukai.
"Ini merupakan rampasan terbesar rokok di Pulau Pinang pada tahun ini dan siasatan masih dilakukan bagi mengesan pemilik premis terbabit untuk membantu siasatan," katanya pada sidang media di Markas PPM Wilayah Satu Pulau Pinang Batu Uban di sini hari ini.
Menurut Shamsol, risikan awal mendapati premis berkenaan disewa untuk tempoh singat dan sindiket akan berpindah ke lokasi tersembunyi lain sekiranya mengetahui aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.
Beliau berkata kesemua rokok berkenaan dipercayai dibawa dari negara jiran melalui jalan laut dan aktiviti pemindahan dilakukan di tengah laut ke kapal lain.
"Kapal komersial ini akan memperlahankan kelajuan mereka di tengah laut dan memindahkan rokok-rokok ini ke kapal lain masuk ke perairan Malaysia.
"Kotak-kotak rokok ini dibalut dengan plastik bagi mengelakkan ia basah ketika pemindahan dilakukan dan disimpan di premis terbabit sebelum diedarkan untuk pasaran tempatan," katanya.
Shamsol berkata kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
-- BERNAMA