PPM Tawau rampas rokok seludup bernilai lebih RM500,000

Petrus Bernard
Jun 17, 2022 10:53 MYT
Katanya, susulan pengesanan dan maklumat yang diterima, dua buah bot ronda PPM bertindak memintas dan menahan bot tersebut untuk diperiksa. - Ihsan PPM Tawau
TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Tawau merampas sebanyak 1,770 kotak rokok seludup pelbagai jenama yang bernilai lebih RM500,000 melalui Op Gelora dan Op Kontraban, PPM W4 pada Rabu.
Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 malam, radar CSS Angkatan Tugas Bersama 2 (ATB2) mengesan sebuah bot laju dari perairan Pulau Sebatik, Indonesia menuju ke perairan Kampung Titingan Tawau dalam keadaan mencurigakan.
Pegawai Pemerintah Markas Operasi Pasukan Polis Marin Wilayah 4 Tawau, DSP Ridzauddin Selamat berkata, susulan pengesanan dan maklumat yang diterima, dua buah bot ronda PPM bertindak memintas dan menahan bot tersebut untuk diperiksa.
Pemeriksaan awal mendapati bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran yang sah dan juragan adalah seorang lelaki tempatan berumur 53 tahun serta seorang anak perahu lelaki warga asing berusia 37 tahun.
"Pemeriksaan ke atas muatan bot tersebut mendapati sarat dengan muatan 1,770 kotak rokok pelbagai jenama yang dipercayai cuba diseludup masuk ke nagara ini untuk pasaran tempatan sekitar daerah Tawau," katanya dalam kenyataan.
Kedua-dua suspek ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen berkaitan barangan yang dibawa dan mereka serta barang rampasan dibawa ke pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.
Nilai keseluruhan barang rampasan termasuk rokok seludup, bot laju dan sebuah enjin 200hp berjumlah RM513,539.20 dan kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.
#Akta Kastam 1967 #rokok seludup #Op Gelora #Op Kontraban
;