PPM tahan lima lelaki cuba seludup 90,000 liter petrol ke Filipina

Radhi Muslim
Mei 17, 2020 17:02 MYT
PPM memberkas lima lelaki selepas disyaki cuba menyeludup 90,000 liter minyak petrol ke Filipina. - Foto: PPM
Pasukan Polis Marin (PPM) memberkas lima lelaki selepas disyaki cuba menyeludup 90,000 liter minyak petrol ke Filipina dalam Ops Benteng COVID-19, di perairan Gubbin Rock, pada Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, kesemua suspek yang ditahan berusia 33 tahun hingga 61 tahun.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, sebelum kejadian sepasukan anggotanya sedang menjalankan rondaan di perairan Sandakan sempena Ops Benteng COVID-19.
Menurutnya, pihak PPM mendapati kapal berkenaan berada dalam keadaan mencurigakan lalu menahan kapal tersebut untuk pemeriksaan lanjut.
"Anggota bertugas kemudiannya menemui 90,000 liter petrol dalam tangki kapal berkenaan.
"Namun, semua suspek gagal mengemukakan permit memiliki bahan terkawal berkenaan.
"Siasatan lanjut mendapati, minyak petrol berkenaan disyaki cuba diseleweng untuk diseludup ke negara jiran, Filipina," katanya dalam satu kenyataan, pada Ahad.
Beliau berkata, semua suspek kemudiannya diberkas dan kapal serta minyak dianggarkan bernilai lebih RM2.11 juta berkenaan dirampas.
"Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961
"Jika sabit kesalahan boleh dikenakan denda tidak lebih RM1 juta atau penjara tidak lebih tiga tahun atau keduanya sekali," katanya lagi.
#Akta Kawalan Bekalan #Filipina #Gubbin Rock #Ops Benteng Covid-19 #Pasukan Polis Marin #petrol #PPM #Sandakan #seludup
;