PPM Sandakan gagalkan cubaan pemuda Filipina masuk negara
Radhi Muslim
Jun 6, 2021 10:13 MYT
Jun 6, 2021 10:13 MYT
SANDAKAN: Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan berjaya mengagalkan cubaan lima individu warga Filipina untuk menyelinap masuk ke negara ini selepas menahan mereka di perairan Pulau Nunuyan, Sandakan pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, semua suspek berusia 17 hingga 28 tahun dipercayai pendatang asing tanpa izin (PATI).
Pegawai Memerintah PPM Sandakan, Deputi Superintendan Rusdin Banin berkata, sebelum kejadian sepasukan anggota sedang menjalankan rondaan.
Menurutnya, sebuah bot laju kemudiannya dikesan dalam keadaan mencurigakan lalu dipintas.
"Sebaik dipintas dan diperiksa, lima lelaki didapati berada dalam bot berkenaan dan semuanya tiada dokumen pengenalan diri yang sah dipercayai PATI.
"Siasatan awal mendapati semua PATI itu berasal dari Basilan, Filipina.
"Susulan itu, semua suspek diberkas. Manakala, bot dan dua buah enjin bernilai RM14,200 yang digunakan turut dirampas." katanya dalam satu kenyataan.
Rusdin berkata, siasatan diteruskan mengikut Akta Imigresen 1959/63.
Dalam pada itu, Rusdin menyeru masyarakat maritim menyalurkan maklumat berkaitan jenayah kepada pihaknya.
"Masyarakat terutama masyarakat maritim dan persisir pantai disarankan dan dialu-alukan menyalurkan maklumat kepada PPM Wilayah Empat Sabah.
"Antaranya melalui aplikasi WhatsApp ke talian 013-2831197 atau berhubung terus dengan mana-mana balai polis berdekatan," katanya.