PPM Sabah rangka strategi kekang jenayah rentas sempadan sepanjang Ramadan, PKP

Radhi Muslim
April 21, 2020 22:15 MYT
MOHAMAD PAJERI: Kita sudah menyediakan 42 bot ronda dan 650 anggota sepanjang tahun ini. - Astro AWANI
Pasukan Polis Marin (PPM) Sabah sudah merangka strategi tersendiri dalam mengekang jenayah rentas sempadan sepanjang bulan Ramadan dan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, strategi itu sudah dirangka lebih awal.
Menurutnya, bulan Ramadan dan penguatkuasaan PKP tidak akan mengganggu fokus mereka dalam menjaga perairan negara.
"Kita sudah menyediakan 42 bot ronda dan 650 anggota sepanjang tahun ini.
"Rondaan di perairan juga akan dijalankan selama 24 jam.
"Justeru, kita yakin mampu menggalas tugasan ini dan keadaan di perairan Sabah terkawal ketika ini," katanya dalam sidang media di Sandakan pada Selasa.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, tinjauan pihaknya berkaitan pematuhan warga maritim terhadap PKP di Sabah didapati mereka mematuhi peraturan berkenaan.
#jenayah rentas sempadan #mohamad pajeri ali #perintah kawalan pergerakan #PKP #polis marin #PPM #Ramadan #Sabah
;