PPK seluruh negara diseru contohi PPK Kuala Langat jana pendapatan petani - Kiandee

Bernama
Januari 26, 2021 15:29 MYT
Ronald Kiandee (tiga, kiri) bersama Pengurus Besar PPK Kuala Langat, Mohd Shakran Shamsudin (kanan) menunjukkan hasil tuaian cili merah ketika lawatan kerja ke PPHP Pertubuhan Peladang Kawasan Kuala Langat. - Bernama
KUALA LANGAT: Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) di seluruh negara diseru mencontohi PPK Kuala Langat yang mampu menjana keuntungan melalui pemasaran hasil pertanian tanpa penglibatan orang tengah.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata ini kerana PPK Kuala Langat melalui Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian (PPHP) di Telok Penglima Garang di sini menjadi lokasi mengumpul hasil pertanian di sekitar kawasan tersebut sebelum dihantar ke pasar raya dan pasar borong di Selangor dan Kuala Lumpur.
"Aktiviti pemasaran melalui PPHP seperti ini mampu menjana pendapatan yang tinggi dan wajar dicontohi oleh PPK lain.
"Pengumpulan dan pemasaran hasil pertanian melalui PPHP ini juga mampu mengurangkan pengaruh orang tengah di samping meningkatkan hasil pendapatan petani.
"Kementerian berharap lebih banyak PPK berperanan aktif dalam industri makanan negara sehingga mampu mempunyai kewangan yang kukuh," katanya selepas melakukan lawatan kerja di PPHP PPK Kuala Langat di sini, hari ini.
Sementara itu, mengulas mengenai kenaikan harga makanan, Kiandee berkata ia melibatkan makanan dan sayuran yang diimport kerana harganya tertakluk kepada pasaran dunia.
"Seperti contoh, jagung yang diimport untuk dijadikan makanan haiwan. Harganya sedang meningkat sekarang, jadi ia turut akan memberi kesan kepada industri penternakan ayam dan lembu.
"Bagaimanapun, kenaikan ini masih terkawal dan kementerian saya bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedang memantau perkara ini," katanya.
-- BERNAMA
#pertubuhan peladang kawasan #PPK #ppk kuala langat #jana keuntungan #hasil pertanian #orang tengah #Ronald Kiandee
;