PPj terima pengiktirafan kedua dari MBOR
Bernama
Januari 31, 2022 17:16 MYT
Januari 31, 2022 17:16 MYT
PUTRAJAYA: Perbadanan Putrajaya (PPj) sekali lagi merangkul pengiktirafan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) selepas berjaya melaksanakan Pemetaan Pencahayaan Terbesar pada Tangga Terbuka yang dipancarkan pada Tangga Putrajaya selama empat hari, mulai 26 Jan lepas.
Naib Presiden Kanan PPj Datuk Fadlun Mak Ujud dalam kenyataan hari ini berkata persembahan pemetaan pencahayaan itu memaparkan video yang berkisar mengenai pencapaian serta kemajuan semasa Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
"Di samping itu tidak juga dilupakan persembahan video Keluarga Malaysia yang memaparkan keharmonian, toleransi dan kesepakatan masyarakat Malaysia sebagai suatu keluarga besar yang harus dibanggakan bersama," katanya.
Beliau berkata pemetaan pencahayaan itu diadakan sebagai simbolik Majlis Sambutan Hari Wilayah Persekutuan yang diraikan pada 1 Februari setiap tahun.
Jumaat lepas PPj menempa nama dalam MBOR menerusi Tangga Putrajaya di Taman Putra Perdana Presint 1, yang diiktiraf sebagai "Tangga terpanjang di taman awam".
-- BERNAMA
#Perbadanan Putrajaya
#PPj
#Malaysia Book of Records
#mbor
#Pemetaan Pencahayaan Terbesar
#Tangga Terbuka
#Tangga Putrajaya