PPIM gesa pihak berkuasa kaji semula logo halal syarikat bukan Islam
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Mei 30, 2017 16:59 MYT
Mei 30, 2017 16:59 MYT
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) disaran mengkaji semula mekanisme pemberian sijil halal dan penjenamaan produk Islam oleh syarikat bukan Islam.
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyarankan agar kaji selidik tersebut turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasaan untuk tindakan lebih berkesan.
Menurut Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, terdapat berpuluh-puluh senarai produk dari syarikat bukan Islam yang telah menggunakan penjenamaan produk Islam hingga mengelirukan pengguna.
Antaranya penggunaan lambang masjid, bulan sabit dan penggunaan huruf jawi.
"Ada yang guna lambang masjid tetapi pengilangnya adalah syarikat bukan Islam.
"Jadi isunya di sini adalah ketidakpuasan hati pengguna Islam khususnya yang mahukan produk halal yang dikeluarkan sendiri syarikat Islam.
"Ini bukan isu halal atau haram sebab logo halal sudah dikeluarkan Jakim," katanya dalam sidang media yang dianjurkan PPIM di Kuala Lumpur pada Selasa.
Menurut Nadzim, soal halal, haram atau rasis tidak sama sekali cuba dibangkitkan PPIM.
Namun ia menjurus kepada keperluan tuntutan dalam Islam yang menyarankan umat Islam agar mencari perkara yang halal lagi baik atau 'halalan toyyiban'.
"Kita terima berpuluh-puluh aduan terhadap berpuluh-puluh produk yang dijenamakan Islam tetapi bukan dihasilkan syarikat atau pengilang Islam.
"Jadi kita mengharapkan kerjasama pihak berwajib agar memahami kehendak masyarakat berbilang agama dan bangsa di negara ini terutama yang melibatkan makanan." katanya.
Tambahnya antara produk-produk yang diadukan kepada PPIM adalah berkenaan produk yang mereka sangkakan ianya keluaran syarikat Islam berdasarkan nama syarikat dan nama produk yang bercirikan Islam.
"Kita harap perkara ini diambil berat kerana ia melibatkan kepercayaan beragama dan tidak hanya bermotifkan kepentingan pemasaran produk semata-mata dan mengenepikan sensitiviti," katanya.
#jenama produk
#logo halal
#Nadzim Johan
#Persatuan Pengguna Islam Malaysia
#PPIM
#syarikat bukan Islam