PPIM gesa KPDNKK, JAKIM wujud Akta Pembaziran Makanan
Norsiah Mohd Ramli
Jun 23, 2015 14:51 MYT
Jun 23, 2015 14:51 MYT
Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menggesa pihak berwajib seperti Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mewujudkan Akta Pembaziran Makanan bagi mengelak pihak tertentu melakukan pembaziran terutama ketika bulan puasa.
Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, kedua-dua pihak ini perlu bekerjasama bagi membendung pembaziran makanan berlaku seperti dengan mendenda pelanggan yang tidak menghabiskan makanan yang diambil terutama di hotel-hotel.
Makanan yang tidak habis itu boleh ditimbang dan caj akan dikenakan.
Inisiatif untuk mengelakkan pembaziran makanan ini turut dilakukan di negara seperti Jerman dan Jepun.
Pihak hotel turut perlu mengambil serius dari segi penyediaan makanan ketika berbuka puasa dengan tidak menyediakan makanan yang terlalu banyak sehingga menyebabkan berlaku pembaziran yang begitu besar.
Selain daripada itu, Nadzim juga mencadangkan “Exchange Food Centre” atau Pusat Penukaran Makanan diwujudkan.
Pusat ini diwujudkan bagi memberi makanan berlebihan yang tidak diusik terutama di hotel-hotel kepada golongan yang memerlukan seperti gelandangan, golongan Asnaf dan pelajar yang kurang bekemampuan.
“Mungkin persatuan hotel, KPDNKK atau Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh menubuhkan satu 'exchange centre' untuk makanan. Jadi orang yang tak habis makanan dia boleh hantar makanan tersebut di sini,” beliau berkata demikian pada sidang media Persatuan Pengguna Islam Malaysia mengenai pembaziran makanan di Villa Puteri Condominium, Jalan Tun Ismail pada Selasa.
Nadzim turut mejelaskan, selain dapat mengurangkan pembaziran, tindakan ini juga sekaligus memberi manfaat kepada mereka yang kurang berkemampuan.
Terdahulu, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Datuk Ab Rahim Md Noor ada mengatakan sebanyak 270,000 tan makan telah dibazirkan rakyat Malaysia sepanjang bulan Ramadan setiap tahun. Makanan ini tidak diusik dan boleh dimakan semula.
Berdasarkan perkiraan itu, jumlah makanan tersebut boleh dihidangkan kepada 180 juta orang iaitu enam kali ganda melebihi populasi negara ini iaitu 27 juta orang.