PPIK gesa KPDNHEP siasat kenaikan harga bawang merah
Vivi Sumanti
Disember 26, 2019 16:44 MYT
Disember 26, 2019 16:44 MYT
Punca kenaikan harga bawang sejak kebelakangan ini tidak diketahui baik dalam kalangan peniaga mahupun pemborong.
Untuk itu, Persatuan Pengguna Islam Kelantan (PPIK) menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri Kelantan memberi penjelasan sebenar mengenai kenaikan harga bawang merah di negeri ini.
Yang Dipertuanya, Datuk Seri Dr Fared Abd Ghani berkata, penjelasan perlu dilakukan agar masyarakat faham dan tahu sebab kenaikan harga.
"Sekarang ini bila kita tanya peniaga dan pemborong, mereka sendiri tidak tahu sebab kenaikan harga bawang merah.
"Sebab itu, kita lihat wajar pihak KPDNHEP turun padang siasat serta terangkan apa yang berlaku kerana bawang adalah keperluan asas bagi isi rumah," katanya pada media selepas tinjauan penjualan bawang merah di sekitar Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC), Tunjong, di sini, hari ini.
Beliau berkata, KPDNHEP tidak seharusnya berdiam diri dan perlu berikan penjelasan kepada rakyat.
"Jangan diam, orang ramai buntu dan mahu PPIK majukan perkara ini kepada pihak yang bertanggungjawab.
Sementara itu, seorang peniaga dan juga pemborong, Azman Idris berkata, walaupun harga naik, tetapi pembeli masih datang untuk membeli.
"Kebanyakan pembeli datang beli dalam kuantiti yang sedikit dan hanya untuk kegunaan beberapa hari sahaja.
"Kami sebagai pemborong pun tidak ambil stok yang banyak seperti sebelum ini yang kebiasaannya 100 guni untuk seminggu, tapi sejak naik harga hanya 50 guni sahaja mengikut keperluan," katanya.