PPI susut 0.8 peratus pada Februari 2023 -- DOSM

Bernama
Mac 27, 2023 05:00 MYT
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penguncupan itu disebabkan kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Indeks Harga Pengeluar (IHP) bagi pengeluaran tempatan, yang mengukur harga barangan di pintu kilang, menyusut 0.8 peratus dari tahun ke tahun pada Februari 2023 berbanding pertumbuhan 1.3 peratus yang disaksikan semasa Januari 2023, lapor Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) hari ini.
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, penguncupan itu disebabkan kesan asas dan harga komoditi utama yang lebih rendah.
Trend penurunan itu banyak disebabkan oleh kemerosotan dalam sektor pertanian, perhutanan, perikanan serta perlombongan.
"Indeks pertanian, perhutanan dan perikanan menurun 26.1 peratus (Januari 2023: -20.9 peratus) dengan harga tandan buah segar merekodkan kejatuhan 40.5 peratus pada Februari 2023.
"Pada masa yang sama, indeks perlombongan susut 6.5 peratus (Januari 2023: -2.2 peratus) disebabkan oleh kelemahan sebanyak 16.1 peratus dalam pengekstrakan indeks petroleum mentah," katanya dalam laporan bulanan hari ini.
Sementara itu, Mohd Uzir berkata indeks pembuatan meningkat tiga peratus menjelang Februari 2023 berbanding pertumbuhan 4.5 peratus pada bulan sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan dalam indeks pembuatan produk komputer, elektronik dan optikal (8.5 peratus).
Untuk sektor utiliti, indeks bekalan air menokok 3.7 peratus, indeks bekalan elektrik dan gas naik satu peratus.
"Secara bulanan, IHP bagi pengeluaran tempatan susut 0.2 peratus pada Februari 2023 berbanding penguncupan 0.8 peratus pada bulan sebelumnya," katanya.
Mengulas mengenai IHP mengikut peringkat pemprosesan, Mohd Uzir berkata indeks bahan mentah untuk pemprosesan selanjutnya terus merendah sebanyak 16.9 peratus pada Februari 2023 (Januari 2023: -12.4 peratus) disebabkan penurunan bahan bukan makanan sebanyak 20.3 peratus.
Mengenai inflasi di peringkat pengeluar negara-negara terpilih, beliau berkata kebanyakan negara menunjukkan inflasi sederhana pada Februari 2023 disebabkan faktor harga tenaga, bahan api dan pertukaran mata wang asing.
Selain itu, harga minyak sawit antarabangsa terus merundum berikutan permintaan import global yang agak lembap, walaupun pengeluaran bermusim adalah lebih rendah daripada kawasan pertumbuhan utama di Asia Tenggara.
"Oleh itu, sebagai salah satu pengeksport utama, harga minyak sawit Malaysia terus menjunam disebabkan permintaan yang rendah dan harga minyak gas yang lebih rendah," katanya. - BERNAMA
#Indeks Harga Pengeluar #PPI #DoSM #Mohd Uzir Mahidin
;