PPCOA minta kerajaan timbang semula integrasi kursus fisioterapi ke dalam TVET

Bernama
Julai 24, 2024 05:30 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini mengumumkan kerajaan akan memperkenalkan kursus-kursus persijilan fisioterapi ke dalam kurikulum TVET negara. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Persatuan Klinik Fisioterapi Swasta Malaysia (PPCOA) merayu kerajaan untuk menimbang semula keputusan memasukkan kursus fisioterapi bersijil ke dalam kurikulum Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional atau TVET, kata Presidennya Dr Balwant Singh Bains.
Sekalipun menghargai inisiatif kerajaan untuk mengatasi kekurangan ahli fisioterapi di Malaysia, beliau berkata pihaknya bimbang langkah itu tidak dapat meningkatkan kualiti profesion itu, sebaliknya hanya memberi kesan buruk kepada masyarakat.
Dr Balwant berkata pengintegrasian kursus fisioterapi ke dalam TVET adalah tidak sesuai kerana bidang itu telah berkembang kepada profesion kesihatan yang amat khusus dan memerlukan kelayakan kemasukan serta keputusan cemerlang dalam subjek sains, selaras dengan piawaian antarabangsa.
"Fisiotherapi bukan semata-mata berkaitan kemahiran teknikal, ia disiplin perubatan yang menyeluruh, dan melibatkan pemahaman anatomi manusi yang kompleks, fisiologi, dan patologi untuk memberikan rawatan yang benar-benar berkesan kepada pesakit.
"Sehubungan itu kami mengharapkan kerajaan mempertimbangkan semula keputusan untuk menyerapkan fisioterapi di bawah program TVET," katanya dalam kenyataan.
Dr Balwant berkata adalah lebih baik jika program-program fisioterapi dalam fakulti-fakulti perubatan dan kesihatan sedia ada diperkukuhkan, dalam memastikan ia dapat diakses dan menerima pembiayaan yang sewajarnya.
"Ini akan mengekalkan piawaian yang tinggi profesion ini sekali gus memastikan pakar fisioterapi di Malaysia cukup bersedia untuk memberikan rawatan terbaik kepada pesakit," katanya.
Pada Selasa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan kursus-kursus persijilan fisioterapi ke dalam kurikulum TVET negara.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata kursus itu diperlukan bagi menangani ketidakseimbangan nisbah ahli fisioterapi dengan populasi penduduk, yang ketika ini menyaksikan nisbah seorang ahli fisioterapi untuk memberi khidmat kepada 7,400 penduduk, angka yang amat rendah berbanding negara maju.
-- BERNAMA
#fisioterapi #TVET #Persatuan Klinik Fisioterapi #profesion kesihatan
;