PPANS sahkan tiada bekalan ayam esok

Sinar Harian
Mei 20, 2022 18:45 MYT
Reban ayam diusahakan Idrus di Hulu Selangor. Sebelum itu tular di media sosial tiada bekalan ayam di Selangor pada Sabtu (gambar kecil). - Sinar Harian
SHAH ALAM: Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor (PPANS) mengesahkan tiada pengeluaran ayam dari ladang pada Sabtu.
Pengerusinya, Idrus Zainal Abidin berkata, permasalahan tersebut disebabkan isu bekalan berpunca ayam sakit.
"70 peratus atau libatkan ribuan anak ayam dari reban saya mati disebabkan sakit. Masalah sama turut dihadapi oleh kebanyakan penternak di Selangor.
"Saya tidak pasti penternak-penternak lain. Jika ada pengeluaran pun mungkin dalam kuantiti yang tidak banyak," katanya kepada Sinar Harian.
Pada Jumaat tular di media sosial dakwaan 'Selangor tiada ayam' yang memetik sumber dari Pasar Borong Selangor pada Sabtu.
Idrus berkata, isu bekalan ayam bukan hanya dihadapi di Malaysia sebaliknya di dunia.
"Harga bekalan melonjak tinggi termasuk di China dan Thailand, untuk dapat bekalan ayam dengan harga RM6 atau RM7 sekilogram ketika ini adalah mustahil.
"Malah kami penternak turut dibebani dengan kenaikan kos dedak yang empat kali naik harga dalam tempoh 10 bulan. Tidak timbul isu kartel atau sorok bekalan sebaliknya masalah bekalan ayam telah dibangkitkan sejak pandemik Covid-19, " katanya.
Beliau berkata, sebelum ini isu tersebut telah dikemukakan kepada kerajaan melalui pertemuan dengan menteri namun permasalahan tersebut tidak diselesaikan secara serius.
"Kami penternak terbeban dengan kos operasi dan hutang di bank. Kami tak dapat nak penuhi kehendak rakyat dengan pelbagai tekanan dan peraturan yang dikenakan ke atas kami.
"Di Selangor kami hadapi kesukaran untuk membina reban ayam, macam-macam syarat dan cukai diletakkan. Harga ayam nak murah tapi apa yang kerajaan buat untuk itu," soalnya.
Bagaimanapun sumber daripada Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) ketika diminta mengulas berhubung dakwaan tiada bekalan ayam pada Sabtu menafikan laporan tersebut.
"Laporan itu tak betul. Peniaga maklumkan ayam di Pasar Borong Selangor ada esok cuma stoknya terhad," katanya ringkas.
Sementara itu, seorang peniaga ayam, Azmi Zainal, 54, berkata, pihaknya tidak pasti desas-desus tersebut benar atau rekaan semata-mata.
"Peniaga ayam memang hadapi masalah bekalan kebelakangan ini, kalau minta 10 bakul hanya bagi empat bakul diberikan pembekal tapi tidak ke tahap tiada bekalan langsung.
"Saya tidak pasti stok untuk esok ada atau tidak, perkara itu hanya akan diketahui paling awal malam ini selepas pembekal ke ladang untuk mengambil bekalan," katanya.
Azmi berkata, dia akui sedikit panik dengan berita tersebut namun telah membuat persediaan dengan menyimpan stok jualan untuk Sabtu.
"Ada tiga bakul ayam (setiap bakul 25 ekor ayam) yang disimpan hari ini (Jumaat) untuk dijual jika bekalan betul-betul tidak ada esok.
"Saya akan hadkan bagi setiap pembelian bagi memastikan semua yang buat tempahan dapat bekalan ayam," katanya.
*Artikel asap disiarkan di Sinar Harian
#tiada ayam #Persatuan Penternak Ayam Negeri Selangor #bekalan ayam #penternak ayam
;