PPA1M Metropolitan Kepong hampiri sasaran 100,000 unit - Najib

Wan Syamsul Amly
Mei 26, 2016 20:08 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melihat model rumah pada majlis pelancaran Perumahan Penjawat Awam 1 Malaysia (PPA1M) di Taman Metropolitan, Kepong, hari ini. -Foto Bernama
Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) Metropolitan Kepong menjadi bukti komitmen sasaran kerajaan membina 100,000 unit perumahan kepada penjawat awam menjelang 2018.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, sebanyak 82,012 unit PPA1M telah diluluskan dan kini dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.
"Ini bukti komitmen kerajaan yang dapat kita tepati dan tunaikan. Setakat ini, sebanyak 148 projek PPA1M telah dilulus dan dilaksanakan seluruh negara.
"PPA1M Metropolitan Kepong yang dijangka siap pada 2018 memiliki sebanyak 1,230 unit sekali gus melengkapkan lagi sasaran tersebut," katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran PPA1M Metropolitan Kepong di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mohd. Amin Nordin Abd. Aziz.
PPA1M Metropolitan Kepong adalah pembangunan perumahan penjawat awam pertama seumpamanya di kawasan Kepong, yang merupakan gerbang utara ke Kuala Lumpur.
Pembangunan ini terletak berhadapan dengan Lebuhraya MRR2 dan bersebelahan dengan Taman Tasik Metropolitan Kepong.
Pembinaannya mengutamakan keselesaan sepenuhnya serta turut menawarkan keistimewaan lain seperti pemandangan indah menara KLCC dan Taman Tasik Metropolitan dan laluan pejalan kaki eksklusif ke Taman Tasik Metropolitan.
Projek ini melibatkan pembinaan 2 blok pangsapuri yang menawarkan 1,230 unit dengan 4 keluasan binaan iaitu 850 kaki persegi, 1000 kaki persegi, 1200 kaki, dan 1500kps yang berharga dari RM90,000 sehingga RM300,000.
Pada majlis sama Najib menyerahkan surat pengesahan pembelian kepada semua pembeli perumahan berkenaan dan dibawa melawat tapak projek.
Jelas Najib, PPA1M Metropolitan Kepong juga mendapat 5,000 permohonan sekali gus membuktikan permintaan tinggi untuk perumahan berkenaan.
"Hanya 1,230 pemohon diterima dan ia mendapat permintaan kerana harga pasarannya yang 30 peratus lebih rendah dari harga semasa.
"Bagaimanapun, mereka tertakluk kepada syarat tidak boleh menjualnya dalam tempoh 10 tahun," ujarnya.
PPA1M Metropolitan Kepong yang terletak di tepi Lebuhraya Lingkaran Tengah Dua (MRR2) dimajukan oleh JL99 Holdings Sdn. Bhd.
#Ali Hamsa #Metropolitan Kepong #Najib Razak #PPA1M #Projek Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia
;