PP, Kedah akan bubar DUN ikut Parlimen

Ashwad Ismail
Januari 31, 2013 18:01 MYT
Dua negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, Kedah dan Pulau Pinang memilih untuk tidak mengikut langkah Selangor yang bercadang membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas sambutan Chap Goh Meh.
Kepimpinan kedua-dua negeri itu memaklumkan mereka tiada sebarang masalah untuk mengadakan pilihan raya serentak dengan Pilihan Raya Umum ke-13 yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, dalam keadaan sekarang, tiada bezanya untuk mengadakan pilihan raya berasingan.
"Secara berasingan atau bersama Barisan Nasional (BN) dalam saat mutakhir ini tidak banyak bezanya," kata Guan Eng ketika ditemui media di George Town, pada Khamis.
Sementara itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula berkata, beliau akan memohon untuk membubarkan DUN Kedah jika waktu pembubaran itu memihak kepada PAS untuk menang pilihan raya.
"Kalau PRU13, itu hak (kerajaan pusat untuk bubar) parlimen. Hak negeri ikut suka saya. Kalau boleh menang kita bubar. Kalau ada punca nak kalah hendak bubar buat apa?" kata Azizan ketika ditemui di Pokok Sena lewat Rabu.
Azizan bagaimana pun menjelaskan, segala keputusan tertakluk kepada persetujuan pucuk pimpinan PAS pusat.
Kerajaan negeri Selangor pada Rabu mencadangkan pembubaran DUN Selangor selepas sambutan Chap Goh Mei iaitu 15 hari selepas perayaan Tahun Baharu Cina sekiranya kerajaan Pusat masih belum memberi petanda untuk membubarkan Parlimen.
Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media berkata, pembubaran tersebut akan tetap dibuat meskipun kerajaan Pusat tidak membuat sebarang pengumuman.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam reaksinya pula memaklumkan kerajaan negeri Selangor berhak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada bila-bila masa yang dirasakan sesuai.
Namun Abdul Aziz menegaskan, ia tidak berhak menentukan tarikh pilihan raya, kerana perkara itu terletak dalam bidang kuasa SPR.
#bubar #DUN #Kedah #Khalid Ibrahim #Lim Guan Eng #pulau pinang #SPR
;