Potret rasmi Agong, Raja Permaisuri mula diedar esok

Bernama
Ogos 7, 2024 13:50 MYT
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil (kiri) bersama Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia Julina Johan memegang potret rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA: Potret rasmi Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah akan mula diedarkan esok, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.
Beliau berkata Jabatan Penerangan (JaPen) akan menerima potret rasmi itu, manakala kementerian-kementerian dan jabatan lain boleh mendapatkannya di Kementerian Komunikasi, esok.
"Bagi orang ramai yang ingin mendapatkan potret rasmi secara percuma, boleh berhubung dengan Jabatan Penerangan Negeri dan Pegawai Penerangan Daerah masing-masing," katanya dalam sidang media pasca mesyuarat Kabinet, di sini hari ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam mesyuarat Jemaah Menteri hari ini, membangkitkan pertemuan beliau dengan Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye, semalam.
"Perdana Menteri menegaskan agar kempen kesedaran perlu dilipatgandakan dan diperluas serta meminta ibu bapa yang mempunyai anak-anak berumur 16 tahun ke atas untuk sentiasa berwaspada ketika menunggang dan membonceng motorsikal," katanya.
Fahmi berkata kebimbangan ini berikutan laporan jumlah kemalangan jalan raya pada tahun lepas yang mencecah 600,000 kes, dengan kebanyakan yang maut melibatkan penunggang motosikal berumur antara 18 hingga 35 tahun.
Semalam, Anwar dilaporkan menerima kunjungan hormat aktivis sosial berpengaruh itu bagi membincangkan mengenai isu keselamatan jalan raya dan keselamatan di tempat kerja. Beliau turut menzahirkan kebimbangan terhadap kadar kemalangan tinggi dalam kalangan penunggang motosikal yang berkaitan dengan kelemahan penguatkuasaan undang-undang serta isu penyelenggaraan jalan raya.
-- BERNAMA
#potret rasmi #Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim #Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah #mula diedar esok